PETALING JAYA: Datuk Seri Abdul Halim Aman merupakan tokoh berpengalaman luas dalam bidang kehakiman dan perundangan negara selepas lebih empat dekad menabur bakti dalam pelbagai jawatan penting.
Beliau dilahirkan pada 10 Mac 1957 di Kampung Alai, Melaka dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Malaya pada tahun 1982.
Abdul Halim kemudian melanjutkan pengajian dan menamatkan Ijazah Sarjana Undang-Undang di University of Hull pada 1996.
Beliau memulakan kerjaya dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada tahun 1982 sebelum berkhidmat selama 22 tahun dalam pelbagai kapasiti.
Antara jawatan yang pernah disandang ialah Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara, majistret di Kluang dan Muar, Penolong Kanan Pendaftar di Mahkamah Tinggi Melaka serta Hakim Mahkamah Sesyen di Tawau, Sandakan, Kuala Lumpur, George Town dan Ampang.
Beliau turut berkhidmat sebagai Peguam Kanan Persekutuan di Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara, selain pernah menjadi Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Timbalan Pendakwa Raya serta Ketua Bahagian Penyelidikan di Pejabat Ketua Hakim Negara.
Pada tahun 2005, Abdul Halim dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi Temerloh sebelum dipindahkan ke Kuantan pada 2006.
Beliau kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 2007 dan pernah berkhidmat di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang serta Mahkamah Tinggi Johor Bahru.
Abdul Halim seterusnya berkhidmat di Mahkamah Tinggi Shah Alam dari 2013 sehingga bersara wajib pada Mac 2023.
Pada 2005, beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi Temerloh sebelum dipindahkan ke Kuantan pada 2006 dan seterusnya dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 2007.
Abdul Halim kemudian berkhidmat di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 2009 dan Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 2010 sebelum meneruskan tempoh perkhidmatan yang panjang di Mahkamah Tinggi Shah Alam dari 2013 hingga bersara wajib pada Mac 2023.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya di Shah Alam, beliau mengendalikan beberapa kes jenayah berprofil tinggi yang mendapat perhatian umum.
Antaranya ialah perbicaraan kes bunuh seorang eksekutif pentadbiran TV9 pada 2015 apabila beliau membebaskan tertuduh selepas memutuskan siasatan dan bukti forensik pihak pendakwaan tidak mencukupi, selain menegaskan kepentingan prosedur siasatan yang betul.
Pada 2019, beliau menjatuhkan hukuman mati terhadap tiga individu dalam kes pembunuhan tanpa mayat di Klang dengan menyifatkan jenayah itu sebagai kejam, ganas dan tidak berperikemanusiaan.
Pada tahun sama, Abdul Halim menolak rayuan penceramah Wan Ji Wan Hussin dalam kes hasutan membabitkan komen terhadap Sultan Selangor serta meningkatkan hukuman kepada satu tahun penjara dengan merujuk kepada prinsip Rukun Negara mengenai kesetiaan kepada Raja.
Pada 2021 pula, beliau menjatuhkan hukuman mati terhadap suami seorang pengasuh atas kesalahan membunuh bayi berusia 11 bulan dengan menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak berhati perut dan tidak berperikemanusiaan.
Pengalaman luas tersebut mengukuhkan profil beliau sebagai antara tokoh kehakiman berpengalaman dalam sistem perundangan negara. – UTUSAN










