Pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) bukan lagi perkara baharu kerana negara ini telah melalui fasa itu ketika ancaman wabak Covid-19 sebelum ini. Justeru penjawat awam yang melaksanakannya tiga hari dalam seminggu bermula 15 April lalu sepatutnya tiada masalah untuk menyesuaikan diri dan mematuhi aturan kerja BDR.
Cuma persoalan yang sering menjadi cabaran dalam pelaksanaan BDR ini adalah sejauh mana penjawat awam itu benar-benar amanah ketika dibenarkan bekerja dari rumah. Ringkasnya, BDR akan menguji integriti dan amanah setiap penjawat awam yang diberi kemudahan dan kebenaran untuk BDR.
Harus diingat pelaksanaan BDR kali ini berbeza sedikit berbanding ketika wabak di mana selain pengecualian untuk tiga sektor iaitu keselamatan dan pertahanan, kesihatan serta pendidikan, BDR kali ini juga hanya kepada penjawat awam yang jarak perjalanan sehala dari pejabat ke rumah melebihi lapan kilometer. Ini bermaksud tidak semua layak dan ada sebahagian perlu hadir ke pejabat seperti biasa setiap hari.
Maka kita tidak mahu timbul persepsi atau rungutan isu keadilan mahupun pertikaian terhadap kerja yang dilaksanakan oleh penjawat awam yang dibenarkan BDR berbanding yang perlu hadir ke pejabat seperti biasa. Ini boleh mencetuskan konflik dalaman sesuatu organisasi jika tidak ditangani secara bijak, profesional dan adil.
Sudah tentu peranan ketua jabatan paling kritikal kerana perlu memastikan anak buah masing-masing dapat melaksanakan tugasan serta mencapai sasaran kerja ditetapkan dengan penuh berkualiti walaupun bekerja dari rumah, iaitu tanpa pemantauan fizikal ketua jabatan.
Ringkasnya, ketua jabatan perlu mengubah pendekatan daripada pantau kehadiran kepada amalan pantau hasil kerja kerana BDR bukan tentang budaya pantau orang, tetapi lebih kepada mengurus prestasi staf.
Dalam konteks ini ketua jabatan perlu ada mekanisme pemantauan yang lebih spesifik selain bergantung harap kepada Sistem Pemantauan Operasi Tugas Secara Elektronik (SPOT-Me) yang membolehkan perekodan kehadiran pegawai melalui fungsi geolokasi pada peranti mudah alih dari rumah. Harus diingat walaupun pegawai perlu mendaftar masuk dalam SPOT-Me setiap satu jam sekali gus membolehkan ketua jabatan memantau keberadaan pegawai, tetapi isu utama adalah pelaksanaan kerja yang diamanahkan dengan penuh integriti.
Maka selain pantau keberadaan lokasi, perlu ada pendekatan yang memerlukan penjawat awam melaporkan progress sesuatu tugasan yang dilakukan lebih kerap bagi memudahkan proses pemantauan yang lebih berkesan dapat dilaksanakan.
Sediakan mekanisme supaya penjawat awam lebih kerap melaporkan aktiviti tugasan mereka dalam sehari umpama sistem buku log agar pelaksanaan BDR kali ini benar-benar telus dan berintegriti. Dalam hal ini waktu respons yang bersesuaian juga wajar ditetapkan agar pegawai dapat bertindak cepat menyelesaikan tugasan diberikan.
Selain itu, BDR juga menuntut amalan komunikasi yang strategik antara ketua jabatan dan pegawai agar semua urusan kerja, arahan dan maklum balas dapat diuruskan dengan cepat dan cekap dengan menggunakan medium komunikasi yang betul dan tepat.
Hal ini penting dan cukup signifikan untuk diberi perhatian serius kerana selain memastikan setiap pegawai memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan, seperti kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, ketua jabatan juga perlu memastikan penjawat awam memahami makna sebenar kerana tidak mahu BDR dijadikan ‘Baring Duduk Rehat’ atau ‘Beli-belah Di Pasar Raya’.
Ketua jabatan perlu memikul tanggungjawab dalam memastikan setiap pegawainya melaksanakan BDR mengikut peraturan dan tatacara yang telah ditetapkan. Pada masa sama individu penjawat awam yang diberi kemudahan BDR juga perlu menjaga amanah dan integriti masing-masing, iaitu berlaku adil kepada penjawat awam yang tidak layak mendapat BDR.
Pertama, pastikan mematuhi semua tatacara dan peraturan yang ditetapkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) Ceraian SR4.1.2: Dasar BDR terutamanya keperluan mendaftar masuk dalam SPOT-Me setiap satu jam.
Kedua, perlu amanah dalam melaksanakan tugasan yakni benar-benar melaksanakan tugas dengan penuh integriti sepanjang tempoh masa waktu bekerja pada setiap hari BDR tersebut.
Ketiga, kerap melaporkan progress kerja kepada pegawai penyelia dan memastikan output yang diperlukan dapat dihasilkan dengan kualiti yang sama seperti jika bekerja di pejabat.
Keempat, berlaku adil kepada rakan-rakan yang dikecualikan dan tidak layak mendapat kemudahan BDR. Harus diingat mereka akan bertugas seperti biasa di pejabat, justeru kita yang diberi kemudahan BDR perlu sama-sama berjuang seperti mereka tanpa sebarang keculasan atau kecurangan.
Ironinya majoriti penjawat awam sangat dedikasi terhadap tugas dan sentiasa mematuhi peraturan dan berpegang kepada prinsip integriti yang tinggi. Justeru BDR kali ini juga sebenarnya menyediakan peluang terbaik kepada mereka ini untuk terus membuktikan kepada kerajaan dan rakyat bahawa tahap integriti dalam perkhidmatan masih kukuh dan arahan BDR sama sekali tidak menjejaskan proses penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Hakikatnya pelaksanaan BDR adalah suatu keputusan yang sangat penting sebagai respons terhadap tekanan ekonomi dan keperluan semasa situasi konflik geopolitik dunia. Kejayaan dan keberkesanan BDR khususnya dalam konteks peningkatan produktiviti secara berterusan serta kelancaran proses penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat banyak bergantung kepada integriti penjawat awam itu sendiri.
Maka menjadi tanggungjawab setiap ketua jabatan dan individu penjawat awam agar dapat menghayati prinsip di sebalik keputusan kerajaan ini agar pada akhirnya keputusan BDR menyokong dan menyumbang kepada pencapaian Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) di bawah Teras 2: Pembangunan Modal Insan, yang menekankan peningkatan produktiviti segenap lapisan penjawat awam.
Penulis Ialah Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat),Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat (PSPK)Universiti Putra Malaysia (UPM)










