Idealisme mahasiswa perlu dipandu realiti, kematangan

Idealisme mahasiswa perlu dipandu realiti, kematangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANAK muda lazim mempunyai semangat tinggi untuk menggapai segala serba bintang di langit. Mereka didorong cita-cita besar untuk menjadi generasi terhebat, melakukan perubahan berskala besar dengan harapan boleh menggoncang dunia.

Hasrat bersifat impian inilah yang menjadikan mereka tidak mudah menyerah kalah, lalu gigih berusaha untuk mencapai kejayaan.

Hasrat sebegini menjadi obor pembakar semangat anak muda untuk berusaha keras, meskipun hasrat tersebut sekadar khayalan keinginan.

Namun ia boleh menjadi pemangkin kepada golongan muda untuk cakna akan keadaan dunia nyata, khususnya dalam kalangan mahasiswa dalam melihat dunia di luar pusat pengajian mereka.

Ketika mengendalikan program-program libat sama pelajar luar negara yang melawat Malaysia, saya sering diajukan soalan-soalan berkaitan konsep idealisme belia serta pilihan gerakan aktivisme yang bermanfaat kepada para mahasiswa.

Bagi saya, oleh kerana konsep idealisme bersifat impian dan khayalan, kita mesti pastikan agar fikiran kita masih berpijak di bumi yang nyata. Kita perlukan fikiran kritikal dalam memperjuangkan sesuatu hal dan bukan sekadar mengulangi cogan-cogan yang dilaungkan pihak lain.

Saya memilih untuk melibatkan diri dalam gerakan yang berkonsepkan pendidikan dan pembangunan kerana tidak melencongkan saya daripada tugas hakiki sebagai seorang pelajar.

Malah, selain membuka peluang untuk melangkah lebih jauh, saya juga dapat menimba ilmu serta kemahiran daripada mereka yang lebih pakar dalam pelbagai bidang bagi melengkapkan apa yang saya pelajari di universiti.

Bergerak aktif di luar universiti serta di pentas antarabangsa mendedahkan saya kepada banyak pengalaman yang sangat berguna. Namun pada masa sama, ia menuntut banyak pengorbanan serta usaha yang lebih keras bagi memastikan pelajaran saya berjalan lancar.

Berhadapan dengan masalah sebenar melatih tajam akal serta mencari idea di luar kotak bagi mendapatkan jalan penyelesaian yang paling berkesan. Di sinilah kita mempelajari kemahiran insani yang mengasah kemahiran seperti berunding dan berkomunikasi secara profesional.

Jika tidak dipecah ruyung, manakan dapat sagunya. Bagi mahasiswa yang mahu bergerak giat dalam kokurikulum masing-masing, mereka hendaklah bekerja dengan lebih keras.

Ada juga rakan pelajar yang menganggap idealisme mahasiswa mestilah bersifat kepihakan serta tuntutan hak dan kebebasan melakukan apa-apa sahaja. Inilah yang mendorong anak muda kepada politik kepartian yang merosakkan kematangan politik anak muda.

 

KEBEBASAN bersuara dan beraktivisme dalam kalangan mahasiswa perlu disertai tanggungjawab, bukan emosi atau kebencian. -GAMBAR HIASAN

RISIKO IDEALISME YANG TERSASAR

Walaupun tidak menjadi ahli atau menyokong mana-mana parti politik, mereka masih ditipu oleh naratif ‘kita lawan mereka’ atau ‘mereka menindas kita’ yang tidak membawa kita ke mana-mana. Naratif sebeginilah yang digunakan dalam diayah gerakan sosialisme sejak azali untuk menarik sokongan orang ramai.

Kebebasan bersuara dalam kalangan mahasiswa bukan bermakna kita bebas menabur kebencian, mengeluarkan kata-kata kesat dan nista, memaki hamun serta menyebarkan fitnah. Begitu juga dengan kebebasan berpolitik.

Segala tindakan kita harus berteraskan kebenaran, kematangan, kebijaksanaan serta kebertanggungjawaban. Kita harus mempunyai rasa belas kasihan serta mengangkat semangat kemanusiaan dan bukannya memupuk rasa kebencian.

Tanggungjawab sebagai pelajar untuk membawa nama mahasiswa, iaitu golongan yang bukan sahaja menerima pendidikan tetapi pendidikan bertaraf tinggi. Apa bezanya mahasiswa dan golongan tak terdidik jika akhirnya kita juga terjerat di jalanan melaungkan omong-omong kosong semata-mata?

Adakalanya juga, akibat terlalu mengikut kata hati, kita bertindak tanpa berhati-hati. Walaupun kail panjang sejengkal, lautan bergelora mahu diduga. Sering kali juga kita melangkah dahulu sebelum berfikir. Apabila sudah terhantuk baru tengadah, sudah kalah baru berkubu.

Hasrat kita mestilah berpandukan pandangan baik dan bukannya dijadikan wadah untuk menjatuhkan musuh. Begitu juga dalam memilih gerakan aktivisme yang ingin disertai. Kita harus lebih bijak membuat pilihan dan belajar melangkah dengan lebih teliti kerana jika silap dipertimbang, sudah tentu buruklah padahnya.

Jangan sampai kita menggadaikan masa hadapan hanya kerana mengejar sebuah impian perjuangan yang sia-sia. Masih banyak yang perlu kita pelajari dalam usaha mengisi ilmu di hati. Jangan pula kita menyia-nyiakan peluang belajar demi memperjuangkan hasrat khayalan.

Ada pihak yang mengambil kesempatan dengan mengapi-apikan golongan muda bagi memancing sokongan mereka. Fitnah dijadikan umpan bagi mencetuskan rasa tidak puas hati dan membakar api keberangan dalam kalangan anak muda.

Bukan setakat itu, tetapi kerana takut dipandang berbeza daripada kawan-kawan yang lain, kita rela menjadi pak turut walaupun tidak bersetuju dengan ideologi yang dimainkan.

Sebahagian daripada kita pula tidak sanggup dipinggirkan. Justeru, kita tidak mempunyai keberanian untuk menongkah arus, lantas membiarkan sahaja diri diperalatkan orang lain.

Maka, apabila orang di sekeliling kita berguling di jalanan, kita turut sama terguling-guling. Jika mereka serak meneriakkan bantahan kosong, kita juga turut sama menengking sambil mengangkat sepanduk. Sama ada benar atau tidak apa yang diperjuangkan, kita tidak kisah lagi kerana yang penting ialah kita terus membantah.

Ironinya idealisme mahasiswa ini ialah mereka sibuk ingin merdeka daripada golongan yang kononnya mengekang fikiran mereka, hanya untuk dikekang pihak berkepentingan yang lain. Mereka gagal memerdekakan jiwa daripada naratif yang dibina oleh orang lain, dan akhirnya hanya menjadi kakaktua yang mengulang suara terbising.

Ke manakah hilangnya nilai yang kita perjuangkan? Di manakah letaknya maruah dan harga diri selaku pewaris kepimpinan negara? Apa gunanya jika kita begitu mudah menggadaikan prinsip yang dahulu kita perjuangkan, hanya kerana terikut-ikut dengan pengaruh sekitar?

Sekiranya anak muda mengekalkan sikap kelalang-lalangan, sampai sudah mereka akan menjadi hamba kepada pihak berkepentingan. Kita perlu lebih matang dalam membuat keputusan, bersedia untuk berunding, serta tahu bilakah masanya untuk berkeras dan bilakah masa perlu bertolak ansur.
Jangan kerana tertipu cita-cita, kita menjudikan segala yang ada sekadar demi kepuasan perjuangan diri.-UTUSAN

 

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×