RUU Perubahan Iklim ke arah tadbir urus lestari

RUU Perubahan Iklim ke arah tadbir urus lestari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGGUBALAN Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim bukan sekadar memenuhi komitmen antarabangsa tetapi menandakan perubahan struktur dalam model pembangunan serta pengekalan kelestarian negara.

Malaysia menyatakan komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca serta mencapai pelepasan sifar bersih seawal 2050, selaras dengan Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC). Namun persoalan sebenar ialah bagaimana komitmen ini diterjemah kepada tindakan konkrit di lapangan?

Pertama, transformasi pengangkutan mesti bersifat sistemik dan lebih mudah diakses oleh pengguna mahupun penduduk setempat. Galakan penggunaan kenderaan elektrik sahaja tidak memadai jika rakyat masih bergantung kepada kereta persendirian.

Infrastruktur pengangkutan awam perlu lebih inklusif, mudah dicapai dan bersepadu dari monorel, LRT sehinggalah bas untuk komuniti luar bandar.

Perancangan bandar berorientasikan transit harus menjadi keutamaan agar tempat tinggal, tempat kerja dan kemudahan awam berada dalam radius yang mengurangkan keperluan perjalanan jauh.

Pengurangan kesesakan lalu lintas secara langsung mengurangkan pelepasan karbon dan meningkatkan kualiti hidup bandar. Sebagai contoh pengangkutan Van Rapid KL amat membantu memudahkan pengguna untuk ke tempat kerja selain tidak perlu bersesak.

Kedua, sektor perhutanan dan guna tanah perlu diurus berasaskan pemahaman prinsip pemencilan karbon. Penebangan balak harus mematuhi had umur matang dan kadar tebangan lestari, disertai program penanaman semula yang agresif dan mengikut kesesuaian jenis spesies pokok serta kesuburan tanah. Penuaian hasil hutan seperti balak dan pokok dalam ladang hutan mengikut piawaian yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

Anak pokok muda yang aktif membesar boleh menyerap karbon dioksida pada kadar tinggi, justeru pengurusan kitaran hutan yang betul dapat mengekalkan keseimbangan stok karbon negara.

Malaysia mempunyai kelebihan sebagai negara tropika yang kaya biodiversiti, kerana itu pengurusan hutan lestari bukan sahaja strategi alam sekitar tetapi juga strategi ekonomi jangka panjang.

Hutan menyerap karbon paling tinggi apabila dipenuhi pokok-pokok muda yang sedang aktif membesar kerana pada fasa ini kadar fotosintesis adalah tinggi dan lebih banyak karbon dioksida (CO2) diserap serta disimpan dalam bentuk biomassa seperti batang, daun dan akar.

Sebaliknya, hutan matang berada dalam keadaan seimbang, apabila kadar pokok yang mati hampir menyamai kadar pertum­buhan pokok baharu. Apabila pokok mati dan mereput, karbon yang tersim­pan akan dile­pas­kan semula ke atmos­fera. Kea­daan ini menja­dikan jumlah karbon yang diserap dan dilepaskan hampir seimbang, seperti yang ditunjukkan dalam kajian oleh Charles Harvey dari Massachusetts Institute of Technology, Amerika Syarikat (AS).

Justeru, walaupun hutan matang masih berfungsi sebagai penyerap karbon, namun tetap bukanlah penyerap karbon tanpa had kerana keupayaannya tidak terus meningkat dari tahun ke tahun.

Ini menjelaskan mengapa keluasan hutan yang besar tidak boleh semata-mata dianggap mampu mengimbangi keseluruhan pelepasan karbon sesebuah negara tanpa pengurusan hutan yang lestari dan strategi penanaman semula yang berterusan.

Ketiga, aktiviti dalam sektor pertanian perlu menyumbang kepada mitigasi karbon. Penggunaan biochar, pengurusan sisa pertanian secara terka­wal, serta pening­katan karbon organik tanah boleh menjadi­kan tanah sebagai pemencilan karbon yang efektif. Amalan agronomi rendah karbon bukan sahaja mengurangkan pelepasan, malah meningkatkan daya tahan tanaman terhadap tekanan iklim.

Keempat, kecekapan tenaga dalam bangunan dan gaya hidup harian tidak boleh dipandang ringan. Dalam iklim panas, penggunaan penyaman udara menjadi penyumbang utama penggunaan elektrik. Justeru, reka bentuk bangunan pasif, sistem pengudaraan semula jadi, bahan binaan rendah serapan haba serta penanaman pokok teduhan bandar perlu diperkasakan.

Pada masa sama, pemilihan tekstil dan pakaian yang ringan serta mudah kering boleh mengurangkan kebergantungan kepada pengering elektrik sekali gus meningkatkan keselesaan tanpa penggunaan tenaga berlebihan.

Kelima, pelaksanaan mekanisme harga karbon dan sistem pelaporan pelepasan yang telus akan menjadi pemacu perubahan industri.

Apabila karbon mempunyai nilai ekonomi, maka inovasi teknologi hijau akan berkembang pesat. Ini membuka ruang kepada penciptaan pekerjaan hijau, pelaburan baharu dan peningkatan daya saing eksport Malaysia dalam pasaran global yang semakin menekankan jejak karbon produk.

 

RANG Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim perlu menjadi pelan tindakan untuk ubah cara negara membangun secara lebih lestari.

 

TEKAD POLITIK
RUU Perubahan Iklim mesti dilihat sebagai pemangkin transformasi nasional, bukan sekadar dokumen undang-undang.

Kejayaan pelaksanaannya bergantung kepada keberanian politik, kesediaan industri, peranan akademia dan perubahan tingkah laku masyarakat.

Jika dilaksanakan secara bersepadu dan konsisten, Malaysia bukan sahaja mampu mencapai kelestarian rendah karbon, malah boleh muncul sebagai model negara tropika yang berjaya mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan tanggungjawab iklim.-UTUSAN

PROFESOR Dr. Arifin Abdu ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) & Pensyarah Jabatan Sains Perhutanan dan Biodiversiti Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×