JOHOR BAHRU: UMNO dilihat kembali menambat hati golongan muda susulan lebih 60 peratus daripada keseluruhan 10,000 penyertaan baharu yang diterima terdiri dalam kalangan golongan muda berusia bawah 40 tahun.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, seramai 6,009 permohonan melibatkan sayap Pemuda, manakala ahli biasa (2,511); sayap Wanita (791) dan Puteri (689).
Katanya, inisiatif Rumah Bangsa yang diilhamkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bukan sahaja berjaya menarik kembali bekas-bekas ahli, tetapi turut menarik sokongan ramai ahli baharu.
“UMNO bukan sahaja sebuah parti politik semasa tetapi juga merupakan parti politik masa depan rakyat Malaysia. Antara faktor penyumbang peningkatan sokongan ini termasuklah kesemua Perdana Menteri sama ada ahli UMNO atau bekas UMNO.
“Faktor lain seperti UMNO dibarisi kepimpinan profesional, pemimpin yang disayangi dan dihormati rakyat dan rekod pencapaian membanggakan sama ada peringkat pusat mahupun negeri,” katanya pada sidang akhbar sempena lawatan ke Projek Menaiktaraf Rumah Seri Kenangan Johor Bahru, di sini hari ini.
Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, UMNO dilihat sebagai sebuah parti politik yang lebih rasional dan damai berbanding mana-mana parti politik lain apabila tiada berlaku perbalahan dalaman sesama ahli.
“Pemimpin UMNO tidak memaki hamun, menjatuhkan imej parti dikhalayak ramai sebaliknya masing-masing mempunyai integriti dan disiplin tinggi. Ketika parti lain pecat memecat, kita menerima kemasukan ramai ahli.
“Pendaftaran keahlian UMNO secara online ini bukan perkara baharu, sudah ada sejak 2020 lagi namun susulan pelaksanaan Rumah Bangsa, kita aktifkan semula dan ia mendapat sambutan menggalakkan,” katanya.
Baru-baru ini, media melaporkan mesyuarat MKT UMNO yang diadakan di Melaka pada 17 April lalu memutuskan kesemua 6,252 permohonan diterima menerusi inisiatif Rumah Bangsa diluluskan tanpa syarat.
Sementara itu, pada Selasa lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, sebanyak 3,716 permohonan keahlian baharu diterima dalam tempoh beberapa hari lalu. – UTUSAN










