KUANTAN: Terperangkap di dalam kapal selama tujuh bulan dengan keadaan kebajikan terabai serta makanan yang terhad merupakan situasi dihadapi kru kapal Berkat Tuah termasuk 11 rakyat Malaysia yang terkandas di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Muhammad Kamal Idhamuddin Kamal Arifin, 27, berkata, sepanjang tujuh bulan kapal itu terkandas di Pelabuhan Hamriyah yang terletak di Teluk Parsi itu, kebajikan semua kru memang terabai malah gaji mereka juga tidak dibayar oleh majikan.
Jelasnya, kapal berkenaan terkandas dan tidak dapat beroperasi selepas ditahan susulan isu melibatkan pihak pelanggan iaitu Dynamic Navigation (Berlitz Marine) yang menamatkan perkhidmatan dan memfailkan kes di mahkamah.
Menurutnya, situasi tersebut menyebabkan kapal berkenaan terkandas bersama kru malah ada dalam kalangan mereka yang terperangkap sehingga 10 bulan manakala majoriti termasuk dirinya selama tujuh bulan.
“Keadaan menjadi semakin sukar apabila penjana kuasa kapal rosak akibat kekurangan alat ganti menyebabkan kami terpaksa bergantung kepada penjana kuasa kecemasan yang tidak mampu beroperasi 24 jam. Ia hanya enam jam siang dan enam jam malam.
“Pada awalnya syarikat masih membekalkan bahan mentah dan saya masih boleh memasak tetapi selepas chiller (pendingin) dan freezer (penyejuk beku) rosak, pihak syarikat pula seolah-olah meninggalkan kami.
“Pihak insurans pula mengambil alih dengan menyediakan makanan bungkus setiap hari,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Muhammad Kamal Idhamuddin yang merupakan anak jati Taman Kempadang Perdana 2, Sungai Soi di sini berkata, tekanan mental dan fizikal semakin dirasai apabila kru mula tidak menerima gaji sejak bulan Februari selain berdepan ketidakpastian berhubung nasib masing-masing.
“Cabaran paling besar adalah menunggu tanpa jawapan dan setiap hari penuh tanda tanya,” katanya lagi.
Katanya, walaupun gembira dapat pulang ke tanah air dan bertemu keluarga dia sedih mengenangkan nasib lima rakannya termasuk seorang dari Indonesia yang masih berada di atas kapal dalam keadaan tidak menentu.
“Selain makan makanan bungkus mereka hanya pakai penjana kuasa kecemasan. Cuma enam jam siang dan enam jam malam, waktu lain dalam keadaan panas.
“Kesemua mereka tidak dapat pulang kerana tidak mendapat pelepasan dari Pelabuhan Hamriyah sebab kapal tidak dibenarkan kosong tanpa anak kapal,” katanya lagi.
Dia dalam pada itu berharap agar semua pemilik syarikat perkapalan lebih bertanggungjawab terhadap kebajikan kru khususnya apabila berdepan masalah.
Dia juga berterima kasih kepada semua pihak yang membantu termasuk Jabatan Laut Malaysia, International Transport Workers’ Federation (ITF), Kesatuan Kebangsaan Pelaut-Pelaut Semenanjung Malaysia (NUSPM) dan Konsulat Malaysia di Dubai.
Katanya, perbincangan pihak kedutaan dengan pihak Pelabuhan Hamriyah membuahkan hasil apabila tujuh kru kapal dari Malaysia dibenarkan pulang ke tanah air.
Pada 15 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan terus mempergiat usaha membawa pulang baki kru kapal Berkat Tuah yang masih terkandas di Pelabuhan Hamriyah, Dubai, UAE.
Beliau berkata, usaha itu dilaksanakan melalui kerjasama erat antara Kementerian Luar (Wisma Putra), Kedutaan Malaysia di UAE dan agensi berkaitan.-UTUSAN.










