WASHINGTON: Presiden Donald Trump pada Isnin berkata, Amerika Syarikat (AS) tidak akan menarik balik sekatan ke atas pelabuhan Iran sehingga Teheran bersetuju dengan satu perjanjian damai untuk menamatkan perang.
“Sekatan itu yang kami tidak tarik balik sehingga ada satu ‘perjanjian,’ (sekatan tersebut) benar-benar memusnahkan Iran,” kata Trump di media sosial.
“Mereka kehilangan AS$500 juta(RM1.9 bilion) sehari, satu jumlah yang tidak mampan, walaupun dalam jangka pendek.”
Pergerakan di Selat Hormuz sekali lagi terganggu apabila Teheran dan Washington mengenakan sekatan masing-masing.
Kenyataan beliau dibuat ketika gencatan senjata sementara antara AS dan Iran dijadualkan tamat pada Rabu, namun masih tiada kepastian sama ada pusingan kedua rundingan damai akan diteruskan di Pakistan.
Keselamatan di ibu negara Pakistan diperketatkan sebagai persiapan untuk mesyuarat tersebut. Naib Presiden AS, JD Vance yang dijangka mengetuai delegasi AS masih belum berlepas dari Washington, manakala Iran menyatakan ia belum membuat keputusan sama ada akan hadir.
Sejak sekatan itu bermula, pasukan tentera AS telah mengarahkan 27 kapal untuk berpatah balik atau kembali ke pelabuhan Iran, menurut Markas Pusat Amerika Syarikat (Centcom).
AS juga telah memintas dan merampas sebuah kapal kargo berbendera Iran buat kali pertama dalam konflik itu, selepas ia cuba melepasi sekatan pada Ahad.
Video yang dikongsi oleh Centcom didakwa menunjukkan kapal itu diberi amaran sebelum pasukan tentera menaiki kapal tersebut.
Teheran menganggap tindakan itu sebagai perbuatan lanun dan pelanggaran gencatan senjata rapuh antara kedua-dua negara.
Iran telah mengekalkan sekatannya sendiri terhadap Selat Hormuz, laluan perkapalan penting, selama hampir dua bulan menyebabkan harga tenaga global meningkat mendadak.
Laluan itu sempat dibuka semula pada Sabtu, tetapi ditutup semula dengan cepat selepas laporan menyatakan beberapa kapal di atau berhampiran Selat Hormuz termasuk sebuah kapal tangki, telah menjadi sasaran Teheran.
Trump berkata, Iran telah memilih untuk melepaskan tembakan dan menyifatkannya sebagai pelanggaran sepenuhnya terhadap perjanjian gencatan senjata.
Iran pula berkata, ia akan mengekalkan penutupan laluan itu sehingga AS menghentikan sekatan ke atas pelabuhannya.
Terdapat tanda-tanda bahawa pusingan kedua rundingan damai antara Amerika dan Iran akan diteruskan, walaupun Teheran enggan mengesahkan sama ada ia akan menghantar delegasi.
Susulan pusingan pertama rundingan awal bulan ini, Vance berkata, AS tidak dapat mencapai keadaan di mana Iran bersedia menerima syaratnya.
Kementerian Luar Iran pula menggesa Washington supaya mengelak daripada mengemukakan tuntutan berlebihan dan permintaan yang tidak sah.
Pusingan kedua yang berpotensi ini berlaku pada saat yang kritikal. Sumber memberitahu Perbadanan Penyiaran British (BBC) pada Isnin petang bahawa delegasi AS akan berlepas tidak lama lagi tetapi tidak menyatakan masa, manakala pegawai memberitahu New York Times bahawa mereka akan berlepas pada Selasa.
Jurucakap Kementerian Luar Iran pada Isnin berkata bahawa setakat ini, Teheran tidak mempunyai rancangan untuk hadir.
Vance dijangka disertai oleh Utusan Khas, Steve Witkoff dan menantu serta penasihat Trump, Jared Kushner, seperti dalam pusingan rundingan sebelumnya.
Setakat ini, masih tidak jelas siapa daripada pihak Iran yang akan hadir.
Walau bagaimanapun, di Islamabad, terdapat tanda-tanda persiapan untuk rundingan tersebut.
Tetamu-tetamu di Hotel Serena di bandar raya itu, tempat rundingan sebelumnya diadakan telah diminta untuk keluar bagi persediaan mesyuarat, manakala polis mengumumkan penutupan jalan-jalan utama kerana ketibaan delegasi asing.
Seorang pegawai kanan kerajaan memberitahu agensi berita Reuters bahawa Pakistan yakin ia boleh mendapatkan Iran untuk menghadiri rundingan itu. – AFP/AGENSI











