Kerjasama AS-Indonesia ancam kedaulatan ruang udara ASEAN

Kerjasama AS-Indonesia ancam kedaulatan ruang udara ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGUMUMAN rasmi antara Amerika Syarikat (AS) dan Indonesia pada pertengahan 15 April lepas mengenai penubuhan Perkongsian Kerjasama Pertahanan Utama (MDCP) disambut sebagai langkah memperkukuh hubungan keselamatan dua hala.

Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth dan rakan sejawatnya dari Indonesia, Sjafrie Sjamsoeddin bertemu di Pentagon untuk mengesahkan komitmen bersama bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau Indo-Pasifik.

Namun di sebalik gembar-gembur kerjasama pemodenan tentera, latihan bersama dan perkongsian teknologi, tersembunyi satu naratif yang lebih gelap yang bocor ke ruang awam hanya sehari sebelumnya.

Dokumen daripada Pentagon didakwa mendedahkan bahawa Washington sebenarnya sedang merundingkan sesuatu yang jauh lebih sensitif: Akses lintas udara menyeluruh yang akan membenarkan pesawat tentera AS melintasi ruang udara Indonesia pada bila-bila masa tanpa perlu meminta izin kes demi kes.

Daripada lensa semiotik, tindakan AS ini menghantar simbol yang amat jelas: Ruang udara negara berdaulat tidak lagi dihormati sebagai sempadan sensitif tetapi dianggap sebagai “lebuh raya strategik” yang boleh dirundingkan demi kepentingan kuasa besar.

Bendera Indonesia yang berkibar di Pentagon bersama bendera AS dalam konteks ini bukan sekadar lambang persahabatan bahkan juga isyarat bahawa Jakarta mungkin bersedia untuk membuka pintu belakang kepada kehadiran ketenteraan asing secara tetap di langit kepulauan terbesar di dunia.

Reaksi daripada pihak berkuasa Indonesia tidak lama kemudian menyusul. Kementerian Pertahanan Indonesia menegaskan bahawa usul tersebut bukan sebahagian daripada MDCP yang telah diumumkan.

Ia hanyalah draf awal yang tidak mengikat, masih di peringkat pengkajian dan akan melalui proses panjang pengesahan perjanjian antarabangsa yang melibatkan Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia sekiranya ingin diteruskan. Kementerian Luar Negeri pula memberi amaran dalam surat dalaman yang bocor bahawa pemberian akses sedemikian boleh menjejaskan hubungan dengan China dan menjerat Indonesia ke dalam konflik rantau.

Namun kegelisahan tetap melanda. Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dikatakan telah memberi “lampu hijau” awal selepas pertemuan dengan Donald Trump mencetuskan kebimbangan bahawa Indonesia mungkin ditarik secara total ke dalam blok keselamatan AS.

Daripada perspektif naratif, apa yang berlaku adalah pertembungan tiga cerita besar: Naratif Washington yang mahu ASEAN menjadi benteng mengekang China, naratif Beijing yang menentang campur tangan asing, dan naratif neutraliti ASEAN yang diwakili prinsip ZOPFAN (Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali).

Indonesia, sebagai negara anggota ASEAN terbesar berada di persimpangan paling kritikal. Setiap langkahnya akan mencorakkan semula keseimbangan kuasa di seluruh rantau termasuk Malaysia yang menjadi jiran terdekat.

Secara geo-naratif, titik hangat ini secara langsung mencabar dasar luar Malaysia yang selama ini berpaksikan prinsip bebas dan aktif. Apabila ruang udara Indonesia yang secara geografi melingkungi hampir seluruh laluan udara ke Semenanjung Malaysia serta negeri Sabah dan Sarawak dibuka secara pukal kepada pesawat pengintip dan risikan asing, ia bermakna aktiviti ISR (Perisikan, Pengawasan, Peninjauan) meningkat secara mendadak di sempadan udara Malaysia.

kuasa besar akan layak mendapat hak laluan tanpa syarat.

ISR biasanya dijalankan oleh pesawat seperti P-8 Poseidon atau RC-135 milik AS. Jika mereka boleh melintas tanpa kawalan maka setiap pergerakan kapal, pesawat dan aset strategik Malaysia di perairan timur Sabah dan Sarawak akan berada di bawah pemerhatian berterusan.

Ini bukan sahaja melanggar prinsip menghormati kedaulatan tetapi juga memaksa Malaysia untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan udara yang bukan murah. Lebih membimbangkan ia mewujudkan risiko keselamatan yang boleh menjadi konflik terbuka dalam sekelip mata.

Dalam konteks ini, kenyataan Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan, yang menegaskan bahawa laluan Selat Hormuz adalah hak bukan keistimewaan menjadi amat signifikan.

Ia mengingatkan semua pihak bahawa undang-undang laut dan udara (seperti UNCLOS dan Konvensyen Chicago) tidak boleh diabaikan hanya kerana tekanan kuasa besar.

Menteri Luar Singapura sebelum ini membayangkan tentang campur tangan AS di rantau ini khususnya di Selat Melaka supaya tiada pendulu kepada apa yang berlaku di Selat Hormuz.

Krisis kecil yang melibatkan sekatan kapal tangki Indonesia di Selat Hormuz oleh Iran menambah lagi dimensi ironis kepada cerita ini. Iran dikatakan tidak membenarkan kapal Indonesia melintas tanpa kebenaran manakala 22 negara lain diberikan kelonggaran.

Secara semiotik, ini adalah penegasan hierarki bahawa tidak semua negara maritim kuasa besar akan layak mendapat hak laluan tanpa syarat.

Indonesia yang sedang dirunding oleh AS untuk memberi capaian di langitnya sendiri mendapati dirinya terpaksa merayu untuk mendapat hak asas di selat strategik lain.

Ini menunjukkan betapa rapuhnya prinsip kedaulatan apabila berhadapan dengan realpolitik.

Apa yang menyatukan semua peristiwa ini, MDCP, dokumen bocor, sekatan Hormuz, kenyataan Menteri Luar Singapura dan kebimbangan Malaysia adalah satu geo-naratif besar: Dunia sedang kembali ke era persaingan blok dan Asia Tenggara menjadi medan pertempuran pengaruh.

Negara-negara anggota ASEAN seperti Malaysia, Thailand dan Indonesia bukan lagi pemain tetapi papan dalam percaturan geopolitik kuasa besar di AS.

Ruang udara dan perairan mereka bukan lagi sempadan kedaulatan, lebih jauh lagi komoditi yang ditawar dan dirunding di meja belakang tabir.

Bagi Malaysia, cabarannya adalah untuk mempertahankan naratif ketiga bahawa ASEAN mesti kekal dengan satu suara bahawa kedaulatan ruang udara adalah harga mati yang tidak boleh dirunding dan bahawa kerjasama pertahanan tidak boleh menjadi pintu masuk kepada kebergantungan strategik.

Jika Indonesia akhirnya memberi akses menyeluruh kepada pesawat AS maka Malaysia perlu mengambil langkah proaktif, bukan reaktif untuk memperkukuh kerjasama ketenteraan bilateral dalam kalangan negara ASEAN sendiri serta memperkukuh mekanisme pengawasan udara bersama.

Ini kerana pada akhirnya seperti yang termaktub dalam perbincangan hangat di ruang awam, “sekali kita bagi laluan istimewa, susah kita nak cakap ‘tidak’ di masa depan.” Langit kampung kita adalah milik kita dan tidak seharusnya menjadi lebuh raya percuma untuk sesiapa sahaja menunjukkan belang.

Isu MDCP dan dokumen bocor Pentagon ini bukan sekadar berita luar; ia adalah cermin kepada tekanan yang bakal kita hadapi dan peringatan bahawa dalam catur kuasa besar hanya mereka yang mempertahankan prinsip dengan tegas akan selamat daripada menjadi buah yang dikorbankan. – UTUSAN

PENULIS adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×