BEIRUT: Presiden Lubnan, Joseph Aoun mengumumkan negaranya berada di ambang fasa baharu ke arah perjanjian kekal, susulan gencatan senjata selama 10 hari dalam perang antara Israel dan Hizbollah yang mula berkuat kuasa semalam.
Dalam ucapan kepada rakyat Lubnan dan secara tersirat merujuk kepada kumpulan Hizbollah yang disokong Iran, sehari selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan gencatan senjata itu, Aoun berkata, Lubnan tidak lagi menjadi medan perang untuk sesiapa.
Lubnan terheret ke dalam konflik Asia Barat pada 2 Mac apabila Hizbollah yang disokong Teheran menyerang Israel sebagai tindakan balas terhadap kematian pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Israel kemudian bertindak balas dengan siri serangan udara ke atas Lubnan dan melancarkan serangan darat, yang mengorbankan hampir 2,300 orang serta menyebabkan lebih satu juta penduduk kehilangan tempat tinggal.
“Sekarang, kita semua berada di hadapan fasa baharu. Ia adalah fasa peralihan daripada usaha gencatan senjata kepada usaha mencapai perjanjian kekal yang memelihara hak rakyat kita, kesatuan wilayah kita dan kedaulatan negara kita,” kata Aoun dalam ucapan pertamanya kepada negara sejak gencatan senjata itu.
Beliau berkata, kerajaan Lubnan telah mengembalikan Lubnan dan kuasanya membuat keputusan buat pertama kali dalam hampir setengah abad.
“Hari ini, kita berunding untuk diri kita sendiri. Kita bukan lagi alat dalam permainan sesiapa, bukan lagi medan perang untuk sesiapa dan kita tidak akan menjadi begitu lagi,” katanya.
Sejak Aoun dan Perdana Menteri, Nawaf Salam mengangkat sumpah tahun lalu, Beirut telah mengambil beberapa keputusan luar biasa terhadap Hizbollah.
Ia termasuk komitmen untuk melucutkan senjata kumpulan itu pada Ogos selepas gencatan senjata November 2024 yang bertujuan menamatkan konflik sebelumnya dengan Israel.
Kerajaan juga mengharamkan aktiviti ketenteraan kumpulan itu selepas perang terbaharu bermula bulan lalu.
Bukan konsesi
Presiden itu turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu mencapai gencatan senjata, termasuk Arab Saudi dan Trump yang mengumumkan perjanjian itu pada Khamis.
Trump kemudian berkata, beliau menjangka Aoun dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu akan melawat Rumah Putih dalam tempoh empat atau lima hari.
Gencatan senjata itu berlaku beberapa hari selepas wakil Lubnan dan Israel di AS mengadakan pertemuan di Washington, pertemuan langsung pertama antara kedua-dua negara dalam beberapa dekad, memandangkan mereka secara teknikal masih berperang sejak 1948.
Rundingan dengan Israel merupakan isu yang sangat sensitif di Lubnan, dengan sebahagian pihak melihatnya sebagai jalan menamatkan konflik berpanjangan, manakala pihak lain termasuk Hizbollah menolaknya.
“Perbincangan langsung dengan Israel bukan tanda kelemahan atau konsesi. Rundingan tidak bermakna dan tidak akan bermakna menyerahkan hak, mengorbankan prinsip, atau menjejaskan kedaulatan negara ini,” kata Aoun.
Pada 17 Mei 1983, Lubnan dan Israel pernah menandatangani perjanjian pengunduran tentera Israel selepas rundingan langsung dengan penyertaan AS, namun ia dibatalkan kurang setahun kemudian pada Mac 1984 di bawah tekanan Syria dan sekutunya di Lubnan.
Selepas perang 2024, wakil awam Lubnan dan Israel juga bertemu dalam rangka jawatankuasa pemantauan gencatan senjata.
Kedua-dua pihak turut mencapai perjanjian persempadanan maritim pada 2022 yang ditaja oleh Washington tanpa komunikasi langsung antara mereka.
“Saya menegaskan tidak akan ada perjanjian yang menjejaskan hak nasional kita.
“Matlamat kita jelas: menghentikan pencerobohan Israel terhadap tanah dan rakyat kita, memastikan pengunduran Israel, memperluaskan kuasa negara ke seluruh wilayahnya dengan pasukan sendiri, serta memastikan pembebasan tahanan dan kepulangan rakyat kita ke rumah dan kampung mereka,” kata Aoun. -AFP










