NEW YORK: Harga minyak menjunam selepas pegawai Iran mengumumkan trafik komersial dibenarkan semula melalui Selat Hormuz, sekali gus mengangkat pasaran saham di Eropah dan New York, di mana indeks utama mencatat paras rekod baharu.
Merujuk kepada gencatan senjata antara Israel dan Lubnan, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, Teheran akan menarik balik sekatan terhadap perkapalan di laluan perdagangan tenaga utama di Teluk itu.
“Selaras dengan gencatan senjata di Lubnan, laluan bagi semua kapal komersial melalui Selat Hormuz diisytiharkan dibuka sepenuhnya untuk tempoh baki gencatan senjata,” kata Araghchi.
Pergerakan di laluan strategik itu yang biasanya menyalurkan kira-kira satu perlima minyak mentah dunia terganggu sejak Iran menyekatnya susulan serangan AS-Israel bermula 28 Februari lalu.
Tindakan itu sebelum ini melonjakkan harga minyak hampir AS$120 (RM474) setong serta menggugat ekonomi global.
Kedua-dua penanda aras utama, Brent dan West Texas Intermediate (WTI) dari Amerika Syarikat (AS), jatuh di bawah AS$90 (RM355) setong selepas pengumuman Teheran. Brent kemudian mengurangkan kerugian dan ditutup pada AS$90.38 (RM357) setong, susut 9.1 peratus.
“Berita ini memberi kesan serta-merta kepada pasaran,” kata Pengarah Penyelidikan XTB, Kathleen Brooks.
Langkah itu turut merangsang pasaran saham, melanjutkan kenaikan di New York, di mana ekuiti telah meningkat sejak akhir Mac berikutan jangkaan perkembangan positif dalam krisis Asia Barat.
“Kita telah melihat pergerakan besar dalam dua minggu lalu dan kini pasaran benar-benar menolak sepenuhnya senario terburuk,” kata Angelo Kourkafas dari Edward Jones.
Beliau turut menekankan kekuatan asas ekonomi AS yang dijangka kembali menjadi perhatian apabila kebimbangan geopolitik semakin reda.
“Perkembangan geopolitik bergerak ke arah yang lebih baik dan pada masa sama kekuatan pendapatan korporat sukar diabaikan,” katanya.
Indeks S&P 500 yang meliputi pelbagai sektor ditutup pada 7,126.06 mata, meningkat 1.2 peratus pada hari tersebut dan 4.5 peratus sepanjang minggu.
‘Berita baik’
Sebelum itu, pasaran saham Eropah ditutup lebih tinggi, dengan Frankfurt dan Paris masing-masing meningkat dua peratus.
Presiden AS, Donald Trump menyambut baik pembukaan semula Selat Hormuz dalam wawancara dengan AFP.
“Kami sangat hampir mencapai perjanjian,” kata Trump dalam panggilan telefon ringkas dari Las Vegas, sambil menambah bahawa tiada lagi ‘isu besar’ dengan Teheran.
Namun, Iran segera menolak satu dakwaan penting.
Kementerian Luar Iran berkata pada Jumaat, simpanan uranium diperkayanya tidak akan dipindahkan ke mana-mana, sekali gus menolak kenyataan terdahulu Trump bahawa republik Islam itu telah bersetuju untuk menyerahkannya.
Sementara itu, pemain industri perkapalan menyambut baik pengumuman Iran dengan penuh berhati-hati.
Jurucakap syarikat pengangkutan Jerman, Hapag-Lloyd, yang mempunyai kapal terkandas di Teluk berkata, pembukaan semula itu secara umum merupakan berita baik.
Namun beliau mengingatkan syarikat perkapalan masih memerlukan butiran jelas mengenai laluan yang boleh digunakan serta susunan pergerakan kapal, berikutan kebimbangan terhadap kemungkinan periuk api laut.
“1,000 kapal tidak boleh terus menuju ke pintu masuk selat itu sekarang, ia akan menjadi huru-hara. Iran perlu memberikan arahan yang jelas.
“Kami bersedia untuk bergerak dalam masa terdekat jika beberapa persoalan ini dapat diselesaikan dalam hujung minggu ini,” kata jurucakap tersebut, Nils Haupt.-AFP











