PETALING JAYA: Pengeluar kereta nasional, Proton melancarkan Proton X70 Sport Edition (SE), edisi khas yang dipertingkatkan bagi kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-C, terhad kepada 600 unit dan berasaskan varian Premium serta ditawarkan secara eksklusif dalam warna ‘Quartz Black’.
Model itu turut menawarkan nilai tambahan sebanyak RM6,000 kepada pelanggan dengan ketersediaan terhad.
Harga atas jalan tanpa insurans bagi varian 1.5TD Premium ditetapkan pada RM112,800 di Semenanjung Malaysia dan RM114,800 (Malaysia Timur), manakala pakej Sport Edition, pelanggan perlu menambah RM2,500.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Datuk Ir. Abdul Rashid Musa berkata, Proton X70 Sport Edition dibangunkan berasaskan kekuatan model yang telah terbukti dan dipercayai rakyat Malaysia.
“Dengan pengenalan ini, kami menawarkan ekspresi yang lebih dinamik dan halus, khusus untuk pelanggan yang mahukan gaya lebih menonjol tanpa mengorbankan keselesaan serta teknologi yang menjadi identiti model ini.
“Edisi baharu ini turut menggabungkan keselesaan ikonik X70 dengan elemen reka bentuk sporty serta penambahbaikan dalaman yang dipilih secara teliti,” katanya dalam kenyataan.
Sebagai antara model paling dikenali syarikat, Proton X70 telah membina reputasi kukuh dalam menawarkan pengalaman pemanduan seimbang, menggabungkan keselesaan tunggangan, teknologi pintar dan praktikaliti harian.
Berteraskan tema “Malaysia’s Most Refined SUV”, X70 Sport Edition memperkukuh asas itu dengan interpretasi lebih ekspresif dan kontemporari tanpa menjejaskan ciri utama model berkenaan.
Beliau berkata, Proton X70 Sport Edition menampilkan 10 naik taraf eksklusif bagi meningkatkan daya tarikan visual serta kegunaan harian.
“Dari segi luaran, model ini tampil lebih agresif dengan kit badan penuh merangkumi skirt hadapan, sisi dan belakang, selain dilengkapi rim aloi hitam 19 inci serta lencana eksklusif Sport Edition yang memberikan identiti tersendiri dalam barisan X70.
“Di bahagian dalaman, sentuhan penambahbaikan menyerlahkan lagi gaya premium apabila jahitan merah menghiasi stereng dan perehat tangan, manakala tempat duduk dilengkapi jahitan merah bersama sulaman logo Sport Edition, mewujudkan suasana lebih eksklusif dan berorientasikan pemandu.
“Dulang but turut disertakan bagi meningkatkan praktikaliti kegunaan harian,” katanya.
Proton X70 Sport Edition dikuasakan enjin i-GT 1.5TD empat silinder yang dipadankan dengan transmisi tujuh kelajuan DCT, menawarkan keseimbangan antara prestasi responsif dan kecekapan bahan api.
Ia turut dilengkapi sistem arahan suara “Hi PROTON” serta aplikasi PROTON Link 2.0 untuk integrasi digital yang lancar.
Dalam pada itu, setiap pembelian Proton X70 Sport Edition didatangkan dengan pakej pelancaran eksklusif kepada 600 pelanggan.
Pakej itu merangkumi jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan serta enam kali servis upah percuma, selain pakej data dalam kenderaan selama lima tahun dengan kuota 2GB sebulan.
Selain itu, kemudahan pembiayaan turut ditawarkan sehingga sembilan tahun dengan kadar faedah bermula 2.2 peratus setahun serta margin pembiayaan sehingga 90 peratus. Pelanggan juga boleh memanfaatkan sokongan tukar beli kenderaan sehingga RM2,000.
Sementara itu, program insurans dengan perlindungan dipertingkat turut disediakan, termasuk perlindungan bencana khas, kemalangan peribadi sehingga RM15,000 seorang serta perlindungan tambahan banjir sehingga RM2,000. – UTUSAN










