Korea Utara tingkat kapasiti senjata nuklear

Korea Utara tingkat kapasiti senjata nuklear

KAPAL pemusnah Choe Hyon melakukan ujian pelancaran peluru berpandu di lokasi yang tidak didedahkan di Korea Utara.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi berkata, Korea Utara menunjukkan peningkatan serius dalam keupayaan pengeluaran senjata nuklearnya.

Bercakap di Seoul, ketua badan pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu mengesahkan berlaku peningkatan pesat aktiviti di reaktor lima megawatt, unit pemprosesan semula, sebuah reaktor air ringan dan beberapa kemudahan lain di kompleks nuklear Yongbyon di Korea Utara.

Beliau berkata, program nuklear negara itu dianggarkan mempunyai beberapa dozen kepala peledak.

Ahad lalu, Korea Utara menjalankan satu lagi ujian peluru berpandu jelajah strategik dan peluru berpandu anti-kapal sebagai sebahagian daripada ujian kecekapan operasi kapal pemusnah Choe Hyon, menurut media rasmi KCNA.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dilaporkan menyaksikan ujian tersebut bersama pegawai kanan pertahanan dan komander tentera laut.

Dua peluru berpandu jelajah strategik dan tiga peluru berpandu anti-kapal ditembak bagi menguji sistem arahan tempur bersepadu kapal itu, melatih kru dalam prosedur pelancaran peluru berpandu serta mengesahkan ketepatan dan prestasi anti-gangguan sistem navigasi yang dinaik taraf.

KCNA melaporkan peluru berpandu jelajah itu terbang selama kira-kira 7,869 hingga 7,920 saat, manakala peluru berpandu anti-kapal selama 1,960 hingga 1,973 saat di perairan pesisir barat negara itu, sebelum mengenai sasaran dengan apa yang digambarkan sebagai ketepatan ultra.

KCNA juga menyatakan Jong Un diberi taklimat pada hari yang sama mengenai rancangan sistem senjata untuk dua lagi kapal pemusnah yang sedang dibina, menunjukkan persediaan untuk kapal ketiga dan keempat kelas Choe Hyon.

Pakar Politik Universiti Kyungnam, Profesor Lim Eul-chul berkata, pembangunan senjata semakin dipercepat merentasi pelbagai bidang ketika Korea Utara cuba mengambil kesempatan daripada gangguan strategik global, termasuk konflik di Asia Barat.

“Pengumuman kapal pemusnah ketiga dan keempat menunjukkan Korea Utara mempercepat pembentukan flotila kapal pemusnah dan bukannya hanya membina platform secara berasingan. Pyongyang kini memajukan keupayaan nuklear dan sistem penghantaran senjata yang sudah mencapai tahap sukar untuk dipatahkan atau diundurkan,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×