Komitmen guru, ibu bapa, pelajar bantu SMK Seri Tualang cemerlang SPM 2025

Komitmen guru, ibu bapa, pelajar bantu SMK Seri Tualang cemerlang SPM 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seramai 89 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Tualang melakukan sujud syukur sejurus sekolah itu diumumkan sebagai yang terbaik di Temerloh dan ketujuh di Pahang.

Pengetuanya, Sarimah Said, berkata, pencapaian tahun ini memperlihatkan lonjakan ketara apabila hampir 75 peratus calon memperoleh sekurang-kurangnya 5A ke atas, manakala gred purata sekolah (GPS) meningkat kepada 2.07, sekali gus mengatasi sasaran awal.

Menurutnya, suasana penuh hiba bercampur syukur menyelubungi Dewan Ibnu Sina di sekolah berkenaan apabila para pelajar tidak dapat menahan sebak sebaik sahaja keputusan diumumkan.

“Lebih menyentuh hati, semua calon beragama Islam melakukan sujud syukur di bawah pimpinan Cikgu Mohd. Ridzuan Mokhti sebagai tanda terima kasih atas kejayaan diraih serta azam untuk mencipta kecemerlangan lebih gemilang,” katanya kepada Utusan Pelajar baru- baru ini.

Di bawah kepimpinannya, SMK Seri Tualang terus mengukuhkan reputasi apabila 10 calon berjaya meraih keputusan cemerlang semua 9A.

Kejayaan itu turut diserikan dengan kelompok besar pelajar memperoleh 8A dan 7A yang menjadi penyumbang utama kecemerlangan keseluruhan sekolah.

Sarimah berkata, pencapaian tersebut adalah hasil komitmen berterusan guru melalui pelaksanaan dialog prestasi serta pemantauan rapi terhadap perkembangan akademik pelajar sepanjang tahun.

“Subjek kritikal seperti matematik tambahan menunjukkan peningkatan memberangsangkan, manakala bahasa Melayu, sejarah dan pendidikan Islam mencatat peratus kelulusan tinggi,” ujarnya.

Beliau berkata, kejayaan berkenaan adalah hasil usaha kolektif melibatkan guru, pelajar dan ibu bapa selain sokongan berterusan daripada Yayasan Pahang.

Katanya, pihak sekolah berkenaan menyasarkan pencapaian lebih tinggi termasuk kecemerlangan menyeluruh pada masa hadapan.

“Sebagai menghargai kejayaan ini, sekolah akan mengadakan Hari Apresiasi Kecemerlangan pada 9 Mei ini bagi meraikan pelajar serta menghargai sumbangan guru dan ibu bapa,” katanya.

Sementara itu, pelajar cemerlang, R. Shanmugan, 18, yang memperoleh 8A+ dan 1A dalam aliran sains tulen berkata, budaya saling membantu antara rakan menjadi kunci kejayaan mereka.

Bagi Airis Zulaika Mohd. Shahril, 18, yang meraih 9A, disiplin mengurus masa serta konsisten membuat ulang kaji menjadi faktor utama kejayaannya.

Seorang lagi pelajar cemerlang, Nik Nurin Zafira Nik Reza Hilmi, 18, yang turut memperoleh 9A menzahirkan penghargaan kepada guru yang tidak jemu membimbing.

Hanim Harzirah Harun, 18, yang turut mencatat 9A berkata, sokongan ibu bapa dan kekuatan doa menjadi pendorong utama untuk terus berusaha sehingga berjaya mengharumkan nama sekolah.

“Restu ibu bapa dan keberkatan ilmu daripada guru sangat penting dalam kejayaan. Saya juga mengamalkan pembelajaran secara berkumpulan supaya setiap topik benar-benar difahami,” katanya.

Tambahnya, pengorbanan ibu bapanya yang peka pembelajaran anak  menjadi suntikan semangat untuk berjaya.

“Saya amat terhutang budi kepada mereka yang tidak pernah jemu berkorban,” katanya.

Dalam pada itu, guru biologi, Rosliza Samsudin menyifatkan pelajar cemerlang sekolah itu cepat memahami pelajaran serta mempunyai daya ingatan tinggi.

Guru kaunseling, Salinawati Mohd. Sabran pula berkata, kejayaan tersebut turut didorong sahsiah diri pelajar yang seimbang serta sikap positif dalam menghadapi cabaran pembelajaran.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN