GAZA: Satu delegasi Hamas dijangka mengadakan rundingan dengan perantara Mesir di Kaherah bagi membincangkan dakwaan pelanggaran gencatan senjata Gaza oleh Israel, menurut dua pegawai kumpulan Palestin itu.
Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa pada Oktober tahun lalu, keganasan yang masih berterusan menggugat wilayah Palestin tersebut.
Kedua-dua Israel dan Hamas saling menuduh melanggar gencatan senjata disokong Amerika Syarikat (AS) itu, yang sebahagian besarnya telah menghentikan perang dua tahun yang memusnahkan wilayah berpenduduk 2.2 juta orang itu.
“Delegasi akan bertemu pegawai Mesir pada pagi Ahad untuk membincangkan usaha menghentikan pelanggaran Israel dan pelaksanaan baki peruntukan fasa pertama perjanjian itu,” kata seorang pegawai Hamas kepada AFP yang enggan dinamakan kerana tidak dibenarkan bercakap secara terbuka.
Menurut pegawai itu, Hamas akan menekankan keperluan agar Israel menghentikan semua pelanggaran gencatan, membongkar kedudukan ketenteraan di Gaza, membuka semula sepenuhnya lintasan sempadan, meningkatkan aliran keluar masuk penduduk, serta membenarkan lebih banyak bantuan kemanusiaan masuk ke wilayah tersebut.
Kumpulan itu juga dijangka mendesak supaya satu badan pentadbiran Gaza yang terdiri daripada teknokrat Palestin yang ditubuhkan oleh AS memasuki wilayah itu dan mengambil alih tanggungjawab pentadbiran.
Seorang lagi pegawai Hamas berkata, delegasi itu juga akan bertemu wakil pelbagai puak Palestin lain di Kaherah untuk membincangkan isu-isu tersebut.
Pada Januari, Washington mengumumkan gencatan senjata itu telah memasuki fasa kedua di bawah pelan damai yang ditaja Presiden, Donald Trump.
Fasa ini memperuntukkan pelucutan senjata Hamas dan pengunduran berperingkat tentera Israel dari Gaza.
Ia juga merancang penubuhan pasukan pengaman seramai 20,000 anggota yang dikenali sebagai Pasukan Penstabilan Antarabangsa, yang mana beberapa negara telah bersetuju untuk menghantar tentera.
Hamas berkata ia tidak menolak untuk menyerahkan sebahagian senjatanya, tetapi hanya sebagai sebahagian daripada proses politik Palestin.
Sementara itu, keganasan masih berterusan di Gaza.
Pada Sabtu, agensi pertahanan awam wilayah itu yang beroperasi di bawah pentadbiran Hamas melaporkan, serangan udara Israel telah membunuh tujuh orang di kawasan utara.
Tentera Israel mendakwa pihaknya ia telah menyerang ‘sel pengganas bersenjata’. Ia mendakwa kumpulan itu menghampiri apa yang dikenali sebagai Garisan Kuning, sempadan de facto yang membahagikan Gaza kepada dua zon, satu di bawah kawalan tentera Israel dan satu di bawah kawalan Hamas.
Sekurang-kurangnya 749 rakyat Palestin terbunuh sejak gencatan senjata bermula, menurut kementerian kesihatan Gaza yang juga berada di bawah pentadbiran Hamas dan angka mereka dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Tentera Israel melaporkan lima askar terbunuh di Gaza sejak permulaan gencatan itu.
Sekatan media dan akses terhad di Gaza menghalang AFP daripada mengesahkan secara bebas angka korban atau membuat liputan penuh terhadap pertempuran.-AFP











