UK bekukan perjanjian penyerahan Kepulauan Chagos selepas kritikan Trump

UK bekukan perjanjian penyerahan Kepulauan Chagos selepas kritikan Trump

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Britain memberi isyarat sedang menangguhkan rancangan memulangkan Kepulauan Chagos yang menempatkan pangkalan tentera strategik AS-UK di Diego Garcia kepada Mauritius, selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengkritik keras perjanjian itu.

Britain sebelum ini mencapai perjanjian dengan Mauritius tahun lalu untuk menyerahkan semula kepulauan di Lautan Hindi itu kepada bekas jajahannya, sambil membayar pajakan selama satu abad bagi Diego Garcia, pulau terbesar yang menempatkan pangkalan tentera tersebut.

Trump mengecam perjanjian pemulangan itu sebagai ‘tindakan kebodohan terbesar’ dan pada Sabtu, media Britain melaporkan kerajaan Perdana Menteri, Keir Starmer akan menggugurkan undang-undang yang diperlukan untuk melaksanakan perjanjian tersebut.

Seorang bekas pegawai kanan kerajaan berkata, London pada dasarnya terpaksa meninggalkan rancangan itu akibat tentangan Trump.

“Apabila Presiden AS secara terbuka menentang, kerajaan perlu menilai semula, jadi perjanjian ini akan dibekukan buat sementara waktu,” kata bekas pegawai tertinggi di Pejabat Luar Britain, Simon McDonald kepada BBC Radio.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, kerajaan sentiasa menyatakan hanya akan meneruskan perjanjian jika ia mendapat sokongan AS.

Pejabat Starmer mengeluarkan kenyataan itu sebagai respons kepada laporan bahawa undang-undang berkaitan perjanjian penyerahan kepulauan Lautan Hindi kepada Mauritius sudah kesuntukan masa di Parlimen dan tiada rang undang-undang baharu akan dibentangkan.

Menteri Luar Mauritius, Dhananjay Ramful berikrar untuk menuntut semula kepulauan tersebut yang terletak kira-kira 2,000 kilometer timur laut Mauritius.

“Kami tidak akan berputus asa untuk menggunakan apa sahaja saluran diplomatik atau undang-undang bagi menyempurnakan proses dekolonisasi di bahagian Lautan Hindi ini. Ini adalah soal keadilan,” kata Ramful dalam satu persidangan Lautan Hindi.

UK masih belum menerima pertukaran nota rasmi dari Washington satu langkah teknikal tetapi keperluan undang-undang untuk perjanjian itu dikuatkuasakan, lapor agensi berita PA Britain.

Oleh itu, masa untuk meluluskan undang-undang di Parlimen sebelum ia dibubarkan dalam beberapa minggu akan datang telah tamat, menurut sumber kerajaan yang menyifatkan keadaan itu sebagai ‘sangat mengecewakan’.

Ketua pembangkang Parti Konservatif, Kemi Badenoch berkata, perjanjian itu kini sepatutnya diletakkan di tempat yang sewajarnya dalam ‘timbunan abu sejarah’.

“Bahawa ia mengambil masa begitu lama adalah satu bukti buruk terhadap Perdana Menteri yang berusaha menyerahkan wilayah berdaulat British dan membayar 35 bilion pound (RM186.79 bilion) untuk menggunakan pangkalan tentera yang memang sudah milik kita,” katanya.

Pejabat Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus berhubung dengan AS dan Mauritius berhubung isu itu.

“Diego Garcia adalah aset ketenteraan strategik utama untuk UK dan AS. Memastikan keselamatan operasi jangka panjangnya adalah dan akan terus menjadi keutamaan kami, itulah tujuan utama perjanjian ini,” kata jurucakap Downing Street.

Trump sebelum ini menyokong perjanjian itu selepas ia ditandatangani, tetapi kemudian mengkritiknya secara keras melalui Truth Social pada Januari.

“UK sedang merancang untuk menyerahkan Pulau Diego Garcia tanpa sebab yang munasabah. Tidak syak lagi China dan Russia telah melihat tindakan kelemahan total ini,” tambahnya, sambil menyatakan ia menunjukkan AS perlu ‘menguasai Greenland’ daripada sekutunya, Denmark.

Diego Garcia merupakan salah satu daripada dua pangkalan yang digunakan AS dengan kebenaran UK untuk tujuan yang disifatkan kerajaan Britain sebagai operasi pertahanan dalam perang terhadap Iran.

Starmer sebelum ini menegaskan keputusan undang-undang antarabangsa telah menjejaskan tuntutan pemilikan Britain ke atas Kepulauan Chagos dan hanya perjanjian dengan Mauritius boleh menjamin pangkalan itu terus beroperasi.

Britain mengekalkan kawalan ke atas Kepulauan Chagos selepas Mauritius mencapai kemerdekaan pada 1960-an.

Ia mengusir ribuan penduduk Chagos yang sejak itu memfailkan pelbagai tuntutan pampasan di mahkamah Britain.

Pada 2019, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mencadangkan Britain menyerahkan kepulauan itu kepada Mauritius.

Perjanjian itu akan memberikan Britain pajakan 99 tahun ke atas pangkalan tersebut, dengan pilihan untuk dilanjutkan.

Kerajaan UK tidak menyatakan kos pajakan, tetapi tidak menafikan laporan ia mungkin sekitar 90 juta pound (RM480 juta) setahun.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×