Israel lulus 34 penempatan haram baharu di Tebing Barat - Utusan Malaysia

Israel lulus 34 penempatan haram baharu di Tebing Barat

JENTOLAK merobohkan struktur ibu pejabat UNRWA di kawasan Sheikh Jarrah di Baitulmuqaddis Timur.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEBING BARAT: Israel meluluskan 34 penempatan baharu di Tebing Barat yang diduduki, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat Palestin mengenai kemungkinan tanah mereka dirampas dalam masa terdekat.

Badan pemantau anti penempatan, Peace Now, memaklumkan kabinet keselamatan secara rahsia memutuskan penubuhan 34 penempatan baharu dalam keputusan yang diambil pada 1 April lalu.

Jumlah itu menambah kepada 68 penempatan yang diluluskan sejak kerajaan berhaluan kanan pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mengambil alih kuasa pada 2022.

Bagaimanapun, keputusan itu belum diumumkan secara rasmi oleh mana-mana badan kerajaan, manakala Kementerian Pertahanan Israel yang bertanggungjawab terhadap penempatan di Tebing Barat enggan mengulas.

“Kami tidak akan mengulas perkara ini,” kata jurucakap kementerian berkenaan kepada AFP.

Menurut laporan i24News, sebanyak 10 daripada 34 penempatan itu merupakan penempatan haram sedia ada di bawah undang-undang Israel, namun akan disahkan secara retroaktif menerusi keputusan tersebut.

Baki 24 penempatan tersebut masih belum dibina.

Semua penempatan dianggap tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa.

Di kampung Palestin Deir Ammar, penduduk berkata, mereka bimbang sebuah penempatan haram yang didirikan di atas bukit berhampiran kawasan mereka kira-kira setahun lalu akan menjadi antara yang disahkan.

Menurut senarai 34 penempatan yang diterbitkan Suruhanjaya Penjajahan dan Penentangan Tembok Pihak Berkuasa Palestin, lokasi penempatan baharu Ramatim Tzofim sepadan dengan lokasi penempatan haram berhampiran Deir Ammar, di mana penduduk mendakwa diserang sekurang-kurangnya tiga kali oleh peneroka haram.

“Kami pada hakikatnya sudah tamat. Jika ini menjadi sebuah penempatan, kami akan berakhir di Deir Ammar. Kami tidak akan mempunyai tanah lagi,” kata Mussa, 54, kepada AFP.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×