QUITO: Pertikaian diplomatik yang memuncak antara Ecuador dan Colombia semakin tegang apabila Bogota menarik balik dutanya selepas Quito mengumumkan tarif 100 peratus ke atas import dari negara jirannya di Amerika Selatan itu.
Kedua-dua negara terlibat dalam perang perdagangan sejak beberapa bulan lalu, dengan Ecuador menuduh Bogota gagal membanteras penyeludupan dadah dan perlombongan haram di sepanjang sempadan bersama mereka.
“Duta kami ke Ecuador mesti kembali serta-merta. Mesyuarat kabinet seterusnya akan diadakan di lokasi di sempadan dengan Ecuador,” kata Presiden Colombia, Gustavo Petro dalam satu hantaran di X sebagai respons kepada pemimpin Ecuador, Daniel Noboa yang juga sekutu rapat Presiden AS, Donald Trump.
Pertelingkahan diplomatik itu semakin memuncak selepas Petro minggu ini menyifatkan bekas Naib Presiden Ecuador yang dipenjarakan sebagai ‘banduan politik’.
Pemimpin berhaluan kiri itu merujuk kepada Jorge Glas, yang pernah menjadi Naib Presiden di bawah bekas Pemimpin Sosialis, Rafael Correa serta penggantinya, Lenin Moreno.
Glas dijatuhi hukuman penjara 13 tahun pada 2025 atas kes rasuah, sabitan keempatnya sejak 2017.
Tindakan itu mendorong Noboa yang berhaluan kanan menarik balik utusannya dari Colombia untuk rundingan pada Rabu dan mengumumkan tarif tersebut bermula Mei.
Petro sebelum ini menyifatkan ancaman tarif 100 peratus sebagai satu ‘kebiadaban’ dan mengancam untuk menarik Colombia keluar daripada Komuniti Andean, blok perdagangan yang turut dianggotai Bolivia, Ecuador dan Peru.
“Ia sememangnya satu kebiadaban, tetapi ini menandakan berakhirnya blok itu, yang mana kami sebenarnya sudah tidak lagi mengambil bahagian,” kata Petro sebelum ini di X.
Noboa membalas bahawa tidak mungkin untuk mencapai perjanjian dengan seseorang yang tidak berkongsi komitmen yang sama dalam memerangi narko-keganasan.
Pemimpin Ecuador berhaluan kanan itu memulakan perang perdagangan dengan Colombia pada Januari susulan dakwaan kekurangan kerjasama dalam membanteras penyeludupan dadah.
Daripada kadar awal 30 peratus, beliau kemudian menaikkan tarif ke atas Colombia kepada 50 peratus.
Colombia membalas dengan tarif 50 peratus dan menghentikan jualan elektrik ke Ecuador, yang mengalami kekurangan tenaga kronik.
Rundingan antara kedua-dua negara gagal menghasilkan sebarang kemajuan.-AFP










