PULAU THITU: Pengawal Pantai Filipina menubuhkan pusat arahan khusus pertamanya di gugusan Kepulauan Spratly, kawasan pertikaian di Laut China Selatan yang sering menjadi lokasi konfrontasi dengan kapal China.
Ibu pejabat daerah baharu pengawal pantai itu, yang sebelum ini diselia dari wilayah Palawan akan meliputi kawasan kira-kira 68,000 kilometer persegi.
Wartawan AFP yang menaiki pesawat ke pusat arahan baharu di Pulau Pagasa yang dikenali sebagai Thitu di Filipina, melaporkan kehadiran beberapa kapal Pengawal Pantai China yang berkawal di perairan berhampiran.
Kapal berkenaan turut mengeluarkan amaran radio kepada pesawat tersebut.
China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, meskipun keputusan tribunal antarabangsa sebelum ini memutuskan tuntutan itu tidak mempunyai asas undang-undang.
“Pulau Pagasa kini akan menempatkan komander berpangkat tinggi secara tetap,” kata Komandan Pengawal Pantai Filipina, Ronnie Gil Gavan selepas majlis pengaktifan pada Khamis.
Beliau berkata, kemudahan itu turut melibatkan penempatan sebuah kapal secara tetap, tambahan aset tindak balas serta tenaga pakar.
“Penubuhan daerah pengawal pantai di sini akan memperkukuh semangat setiap anggota bahawa pertahanan Kumpulan Pulau Kalayaan adalah keutamaan,” katanya.
Langkah itu turut merangkumi kerja-kerja penggalian di pelabuhan bagi membolehkan kapal pengawal pantai berlabuh, berbanding keperluan semasa menggunakan bot kecil untuk membawa anggota ke pulau berkenaan.
Pulau Kota dan Parola yang terletak jauh juga akan dinaik taraf daripada substesen kepada stesen penuh, menurut jurucakap pengawal pantai, Jay Tarriela.
Dalam pada itu, penaiktarafan di Pagasa dijangka meningkatkan peruntukan bagi bantuan komuniti kepada penduduk pulau tersebut, termasuk penambahan guru dan doktor.
Pulau Pagasa menempatkan kira-kira 400 rakyat Filipina, kebanyakannya nelayan dan keluarga mereka, yang menurut China tinggal di situ secara haram.
Kedutaan China di Manila bagaimanapun tidak memberikan sebarang maklum balas segera terhadap permintaan komen.
Bulan lalu, Filipina mengumumkan rancangan menamakan semula lebih 100 ciri geografi di Kepulauan Spratly dalam usaha memperkukuh kedaulatannya di Laut China Selatan.
Tindakan itu mengundang reaksi China yang menuduh Manila melanggar undang-undang antarabangsa serta memberi amaran akan mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi tuntutannya.-AFP










