JKOM bukan alat politik, ubah naratif dekati rakyat

JKOM bukan alat politik, ubah naratif dekati rakyat

ISMAIL YUSOP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA disebut nama Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), ia terus dikaitkan sebagai sebuah agensi kerajaan yang sekadar menyebarkan propaganda demi kepentingan parti-parti politik mentadbir kerajaan.

Persepsi itu yang cuba diubah oleh Ketua Pengarah JKOM, DATUK ISMAIL YUSOP sejak memimpin jabatan itu lebih setahun lalu, melalui penjenamaan semula.

Ikuti temubual bersama wartawan Utusan Malaysia, ASLINDA NASIR, OMAR ZIN bersama jurufoto, ISKANDAR ISHAK dan juruvideo, ZUID SAMSON, di pejabat Media Mulia baru-baru ini.

 


UTUSAN: Adakah JKOM ini sekadar alat propaganda kerajaan?

ISMAIL: Sebagai ketua pengarah, satu perkara yang saya buat ialah soal penjenamaan JKOM. Ini sangat penting sebab persepsi di luar sana, JKOM sering dilihat sebagai agensi politik, khususnya apabila ia dianggap berperanan menyampaikan propaganda yang memihak kepada parti kerajaan.

Cuma bila dibawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) ataupun Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukan lagi sebuah kerajaan seperti Barisan Nasional (BN) ataupun UMNO macam dulu, ada dominasi satu parti politik dalam kerajaan.

Ekosistem politik negara sudah berubah dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), jadi kewujudan JKOM itu tidak boleh lagi macam dulu. Kalau dulu serve the ruling party tapi sekarang ini kena serve the ruling government of the day. Itu mindset yang kita perlu ada.

Kita berhadapan persepsi di luar yang melihat JKOM sebagai agensi yang buat kerja politik, kerja propaganda semata-mata sedangkan situasi sudah tidak sama lagi.

JKOM perlu ada satu perancangan yang baharu sebab tidak boleh lagi berkiblatkan pada mana-mana parti yang membentuk kerajaan ini tetapi menjadi agensi yang serve the government of the day.

Bagi kita, tanggungjawab kestabilan politik dalam negara ini adalah tanggungjawab kenegaraan, bukan tanggungjawab parti yang membentuk kerajaan tapi menjadi tanggungjawab rakyat untuk memastikan bahawa kestabilan politik ini ada. Sebab situasinya bukan macam dulu.

 

Ada pihak dakwa JKOM gagal tangani persepsi negatif dalam isu-isu dihadapi kerajaan?

Kami di JKOM tidak boleh menghalang persepsi tersebut sebab masalah di luar sana menunjukkan bahawa ada orang cuba untuk mendefinisikan peranan JKOM mengikut persepsi mereka.

Sebagai sebuah agensi ataupun institusi yang ada integriti dan bermaruah, kita tidak boleh biarkan perkara itu yang menentukan apa yang kita nak buat.

Akhirnya di mana fungsi dan peranan kita yang kata nak menjaga kerajaan yang ada. Jadi saya tidak boleh halang persepsi itu.

Orang melihat agensi ini sebagai agensi yang sepatutnya buat itu, buat ini… tapi satu perkara yang sangat penting yang orang terlepas pandang, ekosistem komunikasi kerajaan ini bukan hanya JKOM, ia melibatkan keseluruhan kerajaan, bukan hanya Kementerian Komunikasi.

Di setiap kementerian, ada setiausaha akhbar, ada unit komunikasi korporat dan mereka juga ada tanggungjawab. Bahkan naratif kandungan datang daripada mereka. JKOM bukan pencipta kandungan.

 

Bagaimana jika persepsi negatif terhadap kerajaan berterusan?

Dalam suasana sekarang, liberalisasi maklumat, pendemokrasian informasi menyebabkan kita kena ada keberanian untuk berhadapan dengan keterbukaan yang sedang ada sekarang. Kita tidak boleh lagi cuba untuk memanipulasi.

Ada orang kata kita perlu cipta satu naratif untuk alih perhatian, tidak bolehlah macam itu. Kita perlu menghadap dan kena betul-betul ada keberanian walaupun kadang-kadang agak pahit. Contohnya ada keputusan-keputusan yang tidak popular seperti soal rasionalisasi atau penjajaran semula minyak, diesel dan sebagainya.

Kita hadap dengan berani tapi saya yakin satu perkara, jangan pandang rendah pada kebijaksanaan rakyat. Jangan perkecilkan mereka.

Mereka boleh bercakap melalui berita, media sosial, audio siar dan sebagainya tetapi saya berani menyebutkan bahawa rakyat Malaysia ini majoritinya masih boleh berfikir dengan waras, tidak semudah itu mereka boleh dimanipulasi.

Tapi jangan sampai faktor-faktor (media sosial) menentukan masa hadapan kita. Dalam suasana maklumat yang tidak boleh kita kawal lagi, agensi media mempunyai peranan yang sangat besar, dalam orang keliru, orang celaru, orang tidak tahu mana benar, mana palsu.

Kalau dulu misinformation, hari ini orang bercakap tentang disinformation. Dalam situasi ini, apa yang diperlukan ialah panduan yang datang daripada media.

 

Jadi ia bukan untuk kawal naratif atau kawal persepsi orang?

Tidak, bolehkah kita kawal pemikiran orang? Bolehkah kita tentukan macam mana orang berfikir? Kita sebagai negara yang merdeka, berdaulat dan bermaruah, mempunyai rakyat yang punya daya fikir untuk buat keputusan.

Dalam era pasca normal dan sedang berhadapan dengan dunia baharu, kalau kita tidak ada kemampuan untuk buat keputusan dan menentukan masa hadapan yang kita mahukan, orang lain yang akan tentukan masa hadapan kita.

Lebih parah lagi, apakah kita nak biarkan media sosial menjadi satu elemen yang sangat dominan membentuk persepsi dan kerangka berfikir orang untuk menentukan masa hadapan kita?

Takkan kita nak biarkan TikTok atau Facebook menentukan masa hadapan kita? Kita yang perlu buat keputusan untuk masa hadapan kita.

Kebimbangan saya, dalam ketidaktentuan global ketika ini, adalah generasi yang ada sekarang ini. Kalau mereka tidak tentukan masa hadapan mereka, orang lain yang akan tentukannya dan lebih parah lagi akan jadi satu tragedi kalau kita biarkan media sosial yang tentukan, sebab yang mendominasi media sosial ialah maklumat, bukan ilmu. Ia dua perkara yang berbeza.

Ada yang mula tidak peduli tentang nation-building. Ada yang berani sebut pasal keluar dari Malaysia, ada yang membuat tuntutan.

Perkara-perkara ini bukan sahaja membuatkan kestabilan politik menjadi ancaman tetapi juga kepada konsep federalisme, konsep kenegaraan yang susah payah dikecapi dengan air mata, dengan perjuangan, dengan darah hingga akhirnya kita menjadi sebuah negara.

Jadi, untuk melangkah ke hadapan, apa yang kita boleh lakukan? Di sinilah kita perlukan kerangka Madani.

 

Bercakap mengenai dasar kerajaan, apa mesej yang mahu disampaikan oleh kerajaan kepada rakyat dalam mengurangkan kesan krisis global ketika ini?

Krisis ini memberi kesan yang sangat besar kepada domestik tapi kita tidak mahu sampai perlu tekan butang panik sebab kita bukan sahaja masih boleh bertahan kerana kestabilan politik tapi juga dalam masa tiga tahun, segala usaha-usaha yang telah dibuat oleh Kerajaan Madani untuk membantu rakyat, fokus kepada rakyat itu membuatkan kita bertahan, kalau dibandingkan dengan negara-negara lain di sekeliling kita akibat daripada krisis ini.

Sekarang ini, yang menjadi fokus ialah kesedaran. Ini bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata. Kesan kepada domestik ini tanggungjawab kita bersama.

Sebab itu, isu seperti bekerja dari rumah, langkah penjimatan, soal kehidupan dan sebagainya kena ada kesedaran bahawa kita tidak boleh lagi dalam cara biasa, sebab kita tidak tahu berapa lama perkara ini akan berlaku.

Kedua, kalau nak bina kesedaran adalah melalui keyakinan, bukan ketakutan. Kita tidak mahu ada fear factor, contohnya guna duit SARA (Sumbangan Asas Rahmah), seseorang itu akan berfikir patut beli minyak sebotol tapi beli dua botol, atau patut beli beras sekampit tetapi beli beras dua kampit.

Kita tidak mahu sampai ada orang ketakutan, sehingga simpan stok dan itu akan menyebabkan ekonomi bertambah buruk, jadi inflasi.

Itu sebab Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bersidang setiap minggu, kita nak bina kesedaran kepada rakyat.

Kita kena ubah cara mengurus ekonomi keluarga, komuniti dan negara. Sebab kita tidak tahu krisis ini bila akan berakhir.

Kita juga nak sampaikan bahawa jangan bimbang, selagi kestabilan politik ini kita pertahankan, pastinya kepimpinan yang ada ini adalah kepimpinan yang meletakkan soal kesejahteraan rakyat itu sebagai nombor satu dan membina kepercayaan rakyat.

Akhir sekali ialah jaminan, keyakinan bahawa we will survive. Ada jaminan. Ini yang saya tengok ada cubaan khususnya dari pihak pembangkang mengadakan demonstrasi, ada cubaan-cubaan yang macam itu, cubaan nak menakutkan orang.

Tapi rakyat sudah melalui krisis seperti krisis politik mulai 2018, tiga perdana menteri dalam tempoh lima tahun. Kemudian datang krisis global Covid-19, ada darurat, sampai ada orang angkat bendera putih, sangat traumatik dan kesan daripada lima tahun itu, rakyat menterjemahkan kekecewaan mereka akibat daripada krisis yang berlaku itu.

Dalam keadaan mereka sudah hilang keyakinan dan kepercayaan kepada kepimpinan hingga akhirnya tidak ada mana-mana parti yang dapat sokongan yang cukup untuk membentuk kerajaan, itu bagi saya learning curve yang sangat besar terutamanya kepada parti-parti politik dalam negara ini, tidak kira yang jadi pembangkang dan yang jadi kerajaan.

 

Tetapi masih ada lagi yang kurang berpuas hati dengan dasar kerajaan ketika ini, terutama dalam isu pengurangan subsidi diesel?

Disinilah the whole government approach iaitu tanggungjawab kerajaan bagaimana kita boleh bantu, sebab mengapa ada penjajaran semula subsidi.

Yang jadi masalah, ada rakyat Malaysia yang melihat subsidi ini sebagai hak rakyat. Subsidi ini ialah kepada mereka yang memerlukan.

Kalau betullah kerajaan ini nak main politik, boleh sahaja tangguh dulu tapi kesannya sejak itu, kerajaan dapat jimat berbilion ringgit dan itu boleh bagi kenaikan gaji kakitangan awam, boleh bagi SARA RM100.

Sebab sebelum ini diesel itu disalahgunakan, ada transaksi minyak berlaku di laut dalam dan diseludup masuk di sempadan tapi bila kita buat penjajaran semula, dengan subsidi itu hanya kepada kumpulan sasaran yang ditetapkan dan kemudian penguatkuasaan oleh agensi penguatkuasa, kita sebenarnya selamatkan duit berjuta-juta dan berbilion ringgit yang dapat dikembalikan balik kepada rakyat.

Ini bukan polisi-polisi yang populis tapi keberanian, political will untuk melaksanakan, dalam masa dua tahun, kita dapat rasakan nikmat itu.

Jadi, ada banyak benda baik yang kerajaan buat tapi tidak didendangkan. Penerima bantuan seramai 9 juta untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR). Untuk golongan B40 dan ke bawah, penerima tetap sahaja dalam 5 juta. Ini ramai tapi adakah mereka bercakap?

Mereka tidak bercakap kerana alhamdulillah, anak keluarga dia cukup makan. Jadi, cerita parti ini berkelahi dengan parti ini, pemimpin ini berkelahi dengan pemimpin ini, bagi dia (tidak penting).

Mereka ini silent majority yang duduk senyap dan diam kerana dia ada hidup dia. Pernah dengar ke masa musim perayaan cerita ayam, telur atau tepung tidak cukup? Tidak dengar pun. Sebab ia sudah diselesaikan.

 

Ada yang kata kerajaan masih berdepan dengan defisit kepercayaan walaupun sudah lebih tiga tahun mentadbir negara?

Kerajaan Madani ini mula-mula lagi sudah berhadapan dengan situasi krisis kepercayaan.

Dengan jumlah yang tidak cukup (bentuk kerajaan), Parlimen tergantung, bolehkah kerajaan ini bertahan? Tetapi Anwar telah membuktikannya dalam masa tiga tahun ini.

Saya melihat keyakinan dan kepercayaan itu dengan apa yang telah dan sedang dilaksanakan. Ia tidak sempurna semuanya tetapi kalau nak dibuat perbandingan dengan lima tahun sebelum ini, saya fikir tidak ada siapa boleh menafikan bahawa ada banyak benda-benda baik yang telah berlaku.
Malangnya, orang tidak berbicara tentang kebaikan-kebaikan ini.

Saya setuju ada isu komunikasi tapi mahu tidak mahu dalam konteks sosiopolitik ini, itu naratif yang perlu ada.

Perdana menteri baru-baru ini turun di Pahang, Perak dan Johor, dia bertemu dengan pejabat daerah dan bertanya apa yang sedang berlaku, kenapa projek ini tidak siap, kenapa projek ini sakit, kenapa peruntukan ini tidak sampai sedangkan keputusan itu sudah dibuat lama dan ada yang sudah dibuat, tapi orang tidak tahu pun perkara itu sudah diselesaikan.

Maknanya, kena ada satu sinergi antara kementerian-kementerian pelaksana ini dengan agensi-agensi komunikasi.

Komunikasi dalam era baharu ini ia bukan hanya diletakkan kepada satu pihak, ia adalah whole government approach dan ini bagi saya ialah satu satu perkara yang baharu, learning curve yang baharu.

Adakah cara komunikasi kerajaan dengan rakyat perlu ditambah baik terutama dalam krisis dihadapi negara ketika ini?

Kepimpinan yang ada ketika ini membuat segala persediaan untuk memastikan bahawa kesejahteraan rakyat itu, jangan sampai krisis ini tidak boleh dikawal.

Tapi ini bukan hanya soal polisi kerajaan, rakyat juga kena ada tanggungjawabnya sebagai warganegara. Jangan sampai kampung dikeliling semua sudah terbakar, yang kita masih main mercun lagi.

Yang ini perdana menteri bimbang. Ada yang masih lagi (seolah-olah) tidak terasa kesan itu tapi orang dikeliling kita sudah darurat.

Kita boleh ada polisi atau dasar yang paling baik sekalipun tapi kalau rakyat tidak sambut, bahaya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×