“NYAWA dibalas nyawa.” Itulah rintihan isteri mangsa yang terkorban dalam kemalangan menyayat hati di Klang 29 Mac lalu jelas menggambarkan harapan bagi mendapat keadilan.
Kehilangan besar dialami meranapkan harapan dan mengorbankan tempat bergantung seorang isteri dan tiga orang anak yang masih kecil.
Setiap kali berita kematian akibat pemandu mabuk dilaporkan, persoalan sama pasti menerjah fikiran. Sampai bilakah ia patut dibiarkan berlaku? Berapa banyakkah lagi nyawa yang perlu terkorban?
Ternyata insiden menyedihkan itu bukan sekadar kemalangan tetapi akibat kecuaian yang seolah-olah dibiarkan sahaja berulang.
Jika data penting daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) benar-benar diambil perhatian serius, pasti saat ini kita sudah dapat melihat kesannya yang melegakan.
Antara data berkenaan termasuklah faktor kesilapan manusia menyumbang lebih 80 peratus daripada keseluruhan kemalangan jalan raya di negara ini. Begitu juga data berkaitan pemandu yang berada di bawah pengaruh alkohol 13 kali lebih berisiko menyebabkan kemalangan berbanding pemandu normal.
Semuanya ini menunjukkan pemanduan dalam keadaan mabuk bukan sekadar kesalahan tetapi ancaman serius terhadap keselamatan awam.
Dalam laporan Alkohol dan Dadah terbitan Suruhanjaya Eropah pada 2024, dinyatakan kemerosotan keupayaan akibat alkohol dan/atau dadah merupakan antara punca utama kemalangan kenderaan bermotor di seluruh dunia.
Pengambilan alkohol dan dadah menjejaskan keupayaan fungsi penting pemandu, termasuklah masa untuk bertindak balas, keupayaan untuk mengekalkan laluan, pengurusan kelajuan yang betul, kualiti penglihatan, perhatian yang terfokus dan kewaspadaan. Situasi ini sudah pasti akhirnya meningkatkan risiko kemalangan.
Dari sudut perundangan, Malaysia mengambil langkah penting melalui pindaan Seksyen 41 hingga Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) pada 2020. Pindaan undang-undang yang memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pesalah diluluskan di Dewan Rakyat dan berkuat kuasa pada Oktober 2020.
Menurut Akta berkenaan, individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian boleh dihukum penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 15 tahun, serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000, jika disabitkan kesalahan selain hilang kelayakan lesen memandu bagi tempoh 10 tahun bagi sabitan pertama.
Hukuman lebih berat juga diperuntukkan bagi kesalahan berulang, iaitu penjara tidak kurang daripada 15 tahun dan tidak melebihi 20 tahun, serta denda antara RM100,000 hingga RM150,000 serta hilang kelayakan lesen memandu bagi tempoh 20 tahun untuk kesalahan seterusnya.
Komitmen terkini yang diberikan kerajaan untuk meminda Seksyen 44 Akta 333 bagi mewajibkan pesalah untuk membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa selain hukuman penjara amat dialu-alukan.
Walau bagaimanapun, seberat atau semaksimum pun undang-undang yang diperuntukkan, ia tidak bermakna sama sekali sekiranya tidak dikuatkuasakan dengan berkesan dan secara konsisten serta berimpak tinggi.
Selain itu, pengalaman antarabangsa juga menawarkan panduan berguna. Negara seperti Australia dan Sweden misalnya menetapkan paras maksimum alkohol dalam darah (BAC) yang rendah, melaksanakan penguatkuasaan agresif melalui sekatan jalan raya secara berkala dan menjalankan kempen kesedaran melalui media.
Jepun pula mengambil pendekatan lebih tegas dengan mengenakan hukuman bukan sahaja kepada pemandu tetapi juga kepada individu yang membenarkan atau menggalakkan perbuatan tersebut.
Di Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Eropah seperti Denmark, Finland, Perancis dan Sweden pula penggunaan teknologi seperti peranti pengunci pencucuhan yang menghalang kenderaan daripada dihidupkan jika pemandu dikesan mabuk, ternyata membantu mengurangkan kesalahan berulang.
Langkah yang diambil bukan sekadar undang-undang tetapi pembentukan norma sosial yang jelas, iaitu pemanduan dalam keadaan mabuk tidak boleh diterima sama sekali.

KONSEP ISLAM
Pada masa sama, keadilan kepada mangsa dan keluarga mereka tidak boleh diabaikan. Selain tindakan atau saman sivil yang membolehkan keluarga mangsa menuntut antara lain tuntutan tanggungan, kematian atau kehilangan dan pengebumian. Bahkan konsep diat yang ditawarkan sistem perundangan Islam sewajarnya juga diberikan perhatian utama.
Diat bukan sekadar pampasan kewangan tetapi juga pengiktirafan terhadap nilai nyawa manusia serta tanggungjawab moral pelaku.
Menyedari kepentingan peranan diat, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menganjurkan “Perbincangan Meja Bulat: Pelaksanaan Konsep Pampasan dalam Perundangan Malaysia” pada 29 Julai 2022.
Antara resolusi yang dicapai termasuklah syarikat insurans amat relevan untuk dikaitkan sebagai ‘aqilah atau pembayar ganti rugi akibat kemalangan yang berpunca daripada pemegang polisi kenderaan sesebuah syarikat insurans.
Kadar ganti rugi boleh ditentukan berasaskan polisi insurans yang melindungi kenderaan. Kuantum diat diharapkan dapat dijadikan sebagai asas dalam membuat anggaran jumlah kerugian sama ada kecederaan fizikal atau kematian yang akan dibayar kepada mangsa terlibat.
Perkara ini hanya dapat direalisasikan jika Compendium of Personal Injury Awards 2014 yang dijadikan rujukan hakim untuk menentukan jumlah pampasan bagi kecederaan fizikal dapat diharmonikan dengan prinsip diat.
Dalam hubungan ini, iltizam yang diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk menjadikan diat sebagai instrumen keadilan syariah untuk mangsa dan waris diharapkan dapat membuka ruang kepada pendekatan keadilan yang lebih berperikemanusiaan.
Hal ini juga selaras dengan konsep keadilan pemulihan yang semakin mendapat perhatian pada peringkat global.
Isu pemandu mabuk sehingga mengakibatkan kematian dapat menyerlahkan keutamaan yang diberikan Islam kepada lima perkara asas yang dipelihara syariah (al-daruriyyat al-khamsah), terutamanya nyawa dan akal. Nyawa merupakan hak Allah.
Dengan yang demikian, perbuatan membunuh sama ada orang lain atau diri sendiri amat dilarang dalam Islam. Pembunuhan yang dilakukan menghalang hamba tersebut untuk terus beribadah kepada Allah, Maha Pencipta. Oleh sebab nyawa begitu berharga, maka hukuman berat ditetapkan bagi perbuatan membunuh, iaitu qisas.
Selain qisas, keluarga mangsa juga diberikan peluang memohon pampasan atau ganti rugi atau memaafkan pembunuh.
Di samping itu, kes pemanduan mabuk yang meragut nyawa itu juga menyingkap perkara asas hikmah pengharaman arak dalam Islam, sebagaimana dinyatakan dalam Surah al-Ma’idah, ayat 90.
Pengharamannya bukan sahaja bertujuan melindungi kesejahteraan akal individu yang merupakan salah satu daripada lima perkara asas yang dipelihara syariah.
Lebih penting daripada itu, syariah Islam mengharamkan arak bagi melindungi kepentingan awam daripada kesan buruk pengambilannya. Hal ini termasuklah kehilangan nyawa mahupun kecederaan akibat kemalangan jalan raya sebagaimana yang hangat dibahaskan kini.
Keindahan hukum dalam Islam terserlah melalui langkah menutup jalan keburukan atau yang dikenali melalui kaedah fiqh, sadd al-zari’ah. Semuanya bertujuan memelihara kemaslahatan dan mengelakkan kemudaratan daripada menimpa kehidupan manusia.
PENULIS ialah Felo Kanan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKM)..










