Kerajaan perlu telus dalam naratif harga minyak

Kerajaan perlu telus dalam naratif harga minyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU harga minyak di Malaysia bukan sekadar persoalan ekonomi tetapi berkembang menjadi perdebatan yang lebih besar melibatkan kepercayaan rakyat, ketelusan maklumat dan integriti dalam pengurusan sumber negara.

Setiap kali harga minyak naik, soalan yang sama akan berulang: “Malaysia negara pengeluar minyak, jadi kenapa rakyat masih perlu bayar mahal?”

Jawapan yang diberikan juga hampir sama setiap kali harga minyak ditentukan pasaran dunia. Jawapan sama yang berulang kali juga, “Malaysia bukan pengeluar besar, penggunaan domestik tinggi dan kerajaan telah pun memberi subsidi besar.”

Namun persoalan sebenar bukanlah sama ada jawapan itu betul atau salah tetapi adakah rakyat benar-benar diberikan gambaran penuh atau sekadar sebahagian daripada cerita?

EKONOMI ATAU NARATIF TERPILIH?

Dalam perbahasan awam, kita sering melihat dua kem utama.

Kem pertama menegaskan harga minyak adalah tertakluk kepada pasaran global. Ini adalah fakta. Minyak merupakan komoditi antarabangsa yang harganya dipengaruhi oleh geopolitik, permintaan global dan pengeluaran negara-negara utama.

Kem kedua pula membangkitkan isu struktur industri minyak negara termasuk hakikat bahawa Malaysia mengeksport minyak berkualiti tinggi (light sweet crude) tetapi mengimport minyak yang lebih rendah kualitinya (sour crude), serta keupayaan penapisan domestik yang terhad.

Kedua-dua hujah ini mempunyai asas tetapi apabila disampaikan secara berasingan, tanpa konteks menyeluruh, ia mencipta kekeliruan.

Inilah titik kritikal yang sering diabaikan bukan kekurangan fakta tetapi ketiadaan naratif yang lengkap dan telus.

KETELUSAN: MASALAH SEBENAR YANG TIDAK DISEBUT
Rakyat tidak semestinya menolak kenaikan harga. Rakyat menolak apabila mereka merasakan ada sesuatu yang tidak diceritakan sepenuhnya.

Apabila wujud persoalan seperti:
• Mengapa minyak berkualiti tinggi dieksport sedangkan rakyat membeli pada harga tinggi?
• Siapa membuat keputusan strategik dalam rantaian bekalan ini?
• Bagaimana sebenarnya struktur kos petrol dibentuk secara terperinci?

Namun jawapan yang diberikan hanya bersifat umum dan berulang maka jurang kepercayaan akan terus melebar.

Ketelusan bukan sekadar memberi jawapan tetapi bermaksud memberikan gambaran menyeluruh termasuk perkara yang tidak selesa untuk dijelaskan.

ANTARA KEBAIKAN DAN KETIRISAN SUBSIDI
Kerajaan sering menekankan petrol di Malaysia disubsidi. Ini juga benar. RON95 pada harga RM1.99 adalah lebih rendah daripada harga pasaran sebenar.

Namun dalam konteks integriti, persoalan yang lebih penting ialah:

• Siapa sebenarnya menikmati subsidi ini?
• Adakah subsidi sampai kepada golongan sasaran?
• Berapa banyak yang hilang akibat ketirisan dan penyeludupan?

Subsidi tanpa ketelusan dan kawalan bukan sahaja tidak efisien malah membuka ruang kepada penyalahgunaan.

Dalam banyak kes, subsidi yang sepatutnya membantu rakyat akhirnya menjadi insentif kepada aktiviti tidak sah termasuk penyeludupan ke negara jiran.

Ini bukan lagi isu ekonomi tetapi integriti sistem.

KEPERCAYAAN RAKYAT

Masalah terbesar dalam isu ini bukan harga minyak tetapi kepercayaan rakyat yang semakin terhakis.

Apabila fakta teknikal dijawab dengan bahasa yang terlalu kompleks menyebabkan rakyat merasakan mereka dipinggirkan.

Apabila jawapan berubah mengikut keadaan, maka rakyat merasakan mereka dimanipulasi.

Apabila persoalan kritikal tidak dijawab secara terus menyebabkan rakyat mula membina teori sendiri.

Dalam era maklumat terbuka hari ini, kepercayaan bukan boleh dipaksa tetapi perlu dibina melalui konsistensi dan kejujuran.

 

ISU harga minyak di Malaysia bukan sekadar berkaitan ekonomi tetapi turut melibatkan ketelusan dan kepercayaan rakyat.

 

BUKAN SEMUA ISU RASUAH

Tidak semua isu minyak adalah rasuah tetapi setiap ruang yang tidak telus adalah potensi kepada rasuah.

Apabila keputusan besar dibuat tanpa penjelasan terbuka, apabila data tidak didedahkan secara terperinci dan apabila hanya sebahagian naratif dikongsi maka ruang spekulasi akan wujud. Dan di situlah integriti mula dipersoalkan.

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berpandangan isu ini bukan semata-mata soal harga atau subsidi tetapi soal governance, bagaimana keputusan dibuat, bagaimana maklumat dikongsi dan bagaimana akauntabiliti dilaksanakan.

Jika kerajaan benar-benar mahu menutup ruang kekeliruan dan spekulasi, beberapa langkah perlu dipertimbangkan:

• Pendedahan struktur kos secara terperinci
Bukan sekadar angka umum tetapi pecahan sebenar melibatkan kos minyak mentah, kos penapisan, margin pengedaran dan komponen cukai.

• Penjelasan dasar eksport dan import
Rakyat berhak tahu kenapa minyak tertentu dieksport? Kenapa jenis lain diimport? Apakah rasional jangka panjang strategi ini?

• Audit subsidi secara terbuka
Berapa banyak subsidi yang benar-benar sampai kepada rakyat? Berapa banyak yang bocor?

• Komunikasi jujur, bukan sekadar meyakinkan
Rakyat tidak perlukan naratif yang ‘menenangkan’ tetapi benar walaupun pahit.

MASALAH SEBENAR BUKAN MINYAK

Akhirnya, isu ini membawa kita kepada satu hakikat yang lebih besar iaitu masalah sebenar bukan harga minyak tetapi ketelusan dalam sistem yang menguruskan minyak itu sendiri.

Selagi maklumat disampaikan secara separa, selagi persoalan kritikal tidak dijawab secara terus dan selagi naratif dikawal tanpa keterbukaan maka selagi itulah kepercayaan rakyat akan terus merosot.

Malaysia tidak kekurangan sumber. Malaysia juga tidak kekurangan kepakaran tetapi jika kita kekurangan integriti dalam komunikasi dan pengurusan maka setiap kenaikan harga walaupun berasas akan sentiasa dilihat sebagai ketidakadilan.

Dalam jangka panjang, krisis kepercayaan adalah jauh lebih berbahaya daripada krisis harga.-UTUSAN

 

PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×