NEW YORK: Seorang lelaki didakwa atas tuduhan membunuh selepas seorang bayi berusia tujuh bulan maut akibat ditembak ketika berada di dalam kereta sorongnya di New York.
Amuri Greene, 21, didakwa dengan tiga pertuduhan membunuh dan satu pertuduhan cubaan membunuh selepas polis menuduhnya menembak mati Kaori Patterson-Moore pada 1 April lalu.
Menurut CBS News, Greene hadir di mahkamah pada Jumaat dan mengaku tidak bersalah. Polis percaya bayi itu merupakan mangsa tidak sengaja dalam satu insiden tembakan berkaitan kumpulan geng.
Polis berkata, seorang lagi suspek, Matthew Rodriguez, 18, telah ditahan berhubung kejadian itu di Pennsylvania dan pertuduhan terhadapnya masih dalam proses.
Rakaman kejadian dipercayai menunjukkan dua lelaki menaiki motosikal melawan arus di kawasan Williamsburg, Brooklyn, sebelum seorang lelaki di bahagian belakang mengeluarkan senjata api dan melepaskan tembakan, menurut polis.
Pihak berkuasa percaya Greene adalah individu yang melepaskan tembakan dan berada di bahagian belakang motosikal tersebut.
Dia tercampak dari kenderaan itu selepas kejadian dan dibawa ke hospital untuk rawatan sebelum ditahan polis.
Greene turut mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan memiliki senjata secara jenayah, dua pertuduhan cubaan memiliki senjata secara jenayah, serta dua pertuduhan serangan.
Rodriguez dipercayai individu yang memandu motosikal berkenaan. Menurut polis, dia merempuh kenderaan dari arah bertentangan selepas kejadian tembakan sebelum melarikan diri.
Ahli keluarga dan rakan-rakan berkumpul pada malam Jumaat untuk mengadakan upacara memperingati mangsa dengan menyalakan lilin di lokasi kejadian.










