JAKARTA: Empat pekerja pembinaan maut manakala tiga lagi cedera selepas dipercayai terhidu gas beracun di dalam tangki simpanan air di sebuah projek bangunan tinggi di Jakarta Selatan, Indonesia.
Kejadian berlaku di tapak pembinaan di Jalan TB Simatupang, Tanjung Barat, Jagakarsa.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Yana Nugraha, 33, Mawi, 63, Tatang Sonjaya, 64, dan Muhammad Fauzi, 20, dari Bandung, Jawa Barat.
Menurut polis, kemalangan berlaku apabila keempat-empat pekerja diarahkan oleh penyelia untuk mengosongkan tangki simpanan air bersih di tingkat bawah bangunan.
Apabila tangki yang sedalam kira-kira tiga meter itu dibuka, mereka tiba-tiba rebah dan jatuh ke dalamnya.
Tiga lagi pekerja yang cuba menyelamatkan mereka turut jatuh ke dalam tangki selepas memasuki kawasan itu tanpa peralatan keselamatan yang sesuai.
Kejadian itu menimbulkan panik dalam kalangan pekerja lain di tapak pembinaan, yang bergegas memindahkan mangsa dari ruang sempit itu.
Semua tujuh pekerja dibawa ke Hospital Umum Wilayah Pasar Rebo untuk rawatan awal.
Empat daripada pekerja tersebut disahkan meninggal dunia, manakala tiga yang terselamat mengalami kesukaran bernafas dan kini menerima rawatan di Hospital Fatmawati.
Pihak berkuasa mengesyaki mangsa terdedah kepada gas beracun di dalam tangki, satu teori yang disokong oleh keterangan saksi di tempat kejadian.
“Apabila saya menghampiri tangki itu, terasa panas dan sukar untuk bernafas,” kata seorang penduduk berhampiran, Muhammad Akip.- AGENSI










