JAKARTA: Gunung Semeru di Jawa Timur, Indonesia, meletus sembilan kali pada Sabtu, dengan kepulan abu mencecah sehingga 1,000 meter dari puncak.
Gunung berapi setinggi 3,676 meter itu merekodkan letusan pertama pada 12.07 tengah malam waktu tempatan, menghasilkan kepulan abu kira-kira 700 meter yang bergerak ke arah selatan dengan intensiti sederhana, menurut data pemantauan.
“Letusan tertinggi berlaku pada 5.19 pagi dengan kepulan abu mencapai sekitar 1,000 meter dari puncak,” kata pegawai Pos Pemerhatian Gunung Semeru, Liswanti, dalam satu laporan semalam.
Beliau berkata, letusan kesembilan berlaku pada 6.22 pagi dengan abu setinggi kira-kira 700 meter dari puncak, atau sekitar 4,376 meter dari aras laut.
“Kepulan abu berwarna kelabu dan tebal, bergerak ke arah barat. Ia direkodkan dengan amplitud maksimum 22 milimeter (mm) dan berlangsung selama 141 saat,” katanya.
Liswanto berkata, aktiviti gunung berapi masih didominasi oleh gempa bumi berkaitan letusan.
Data pemantauan menunjukkan 17 gempa bumi letusan direkodkan pada pagi Sabtu, dengan amplitud antara 12 hingga 22 mm dan tempoh antara 56 hingga 112 saat.
Gunung Semeru, yang terletak di sempadan daerah Lumajang dan Malang, kekal pada status Tahap III (Amaran).
Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) mengeluarkan garis panduan keselamatan, termasuk melarang aktiviti di sektor tenggara di sepanjang Besuk Kobokan dalam radius 13 km dari puncak.
Pihak berkuasa juga mengekang aktiviti dalam jarak 500 meter dari tebing sungai sepanjang Besuk Kobokan kerana risiko aliran lava yang boleh menjangkau sehingga 17 km.
Penduduk turut dilarang memasuki radius lima kilometer dari kawah kerana bahaya bahan gunung berapi yang jatuh.
Liswanto memberi amaran kemungkinan aliran lava sepanjang sungai dan lembah yang bermula dari puncak, dengan penduduk digesa terus berwaspada dan mengikut panduan rasmi memandangkan aktiviti gunung berapi berterusan.- ANTARA










