NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menangguhkan undian yang dijadualkan pada Jumaat untuk membenarkan penggunaan kekuatan bersifat pertahanan bagi melindungi perkapalan di Selat Hormuz daripada serangan Iran, menurut program rasminya.
Badan yang dianggotai 15 negara itu pada asalnya dijadual mengundi pada pagi Jumaat mengenai draf resolusi yang dibawa Bahrain, namun jadual berubah pada malam Khamis.
Alasan yang diberikan ialah PBB menyambut Good Friday sebagai cuti umum, menurut sumber diplomatik walaupun perkara itu telah diketahui ketika undian mula diumumkan.
Tiada tarikh baharu ditetapkan bagi pengundian draf tersebut.
Iran telah mengenakan sekatan ke atas laluan perkapalan utama itu. Ia mengancam bekalan bahan api dan menggoncang ekonomi global sebagai tindakan balas terhadap serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel yang mencetuskan perang Asia Barat sejak 28 Februari lalu.
“Kami tidak boleh menerima keganasan ekonomi yang menjejaskan rantau kami dan dunia, seluruh dunia terkesan dengan perkembangan ini,” kata Duta Bahrain ke PBB, Jamal Alrowaiei, minggu ini.
Beliau berkata, teks tersebut, yang telah melalui beberapa pindaan dan disokong oleh AS datang pada saat yang kritikal.
Presiden AS, Donald Trump pada Rabu menyeru negara-negara yang menghadapi kekurangan bahan api supaya mendapatkan bekalan minyak sendiri melalui kapal di Selat Hormuz dan menambah bahawa pasukan AS tidak akan membantu mereka.
Draf keenam dan terakhir, yang dilihat oleh AFP, memberi kuasa kepada negara-negara anggota sama ada secara unilateral atau melalui perkongsian tentera laut pelbagai negara secara sukarela untuk menggunakan semua langkah defensif yang diperlukan dan sesuai dengan keadaan.
Ia terpakai di selat itu dan perairan berhampiran untuk menjamin laluan transit dan mencegah percubaan menutup, menghalang atau mengganggu navigasi antarabangsa melalui Selat Hormuz.
Langkah ini akan berlangsung sekurang-kurangnya enam bulan.
Draf resolusi telah dipinda untuk mendapat sokongan beberapa negara yang kelihatan skeptikal, termasuk Russia, China dan Perancis.
Versi terkini juga menekankan sifat defensif sebarang campur tangan, suatu syarat yang nampaknya meredakan kebimbangan Perancis. – AFP










