CHIANG MAI: Wilayah Chiang Mai di utara Thailand mengisytiharkan dua daerah sebagai zon bencana kebakaran hutan susulan pencemaran udara yang semakin memburuk dan dikhuatiri meningkatkan risiko jerebu serantau.
Pihak berkuasa wilayah menetapkan daerah Samoeng dan Hot sebagai kawasan terjejas serta zon bantuan kecemasan bagi mempercepatkan penyaluran bantuan kepada penduduk.
Di Samoeng, pengisytiharan melibatkan empat mukim iaitu Samoeng Tai, Mae Sap, Samoeng Nuea dan Yang Moen selepas kebakaran hutan terus merebak ke kawasan hutan dan komuniti berhampiran.
Di daerah Hot pula, enam mukim terlibat termasuk Hang Dong, Ban Tan, Na Kho Ruea, Hot, Bo Luang dan Bo Sali berdepan kerosakan harta benda akibat kebakaran.
Pihak berkuasa turut memaklumkan pemantauan rapi sedang dijalankan kerana banyak kawasan masih berisiko tinggi mengalami kebakaran dan jerebu, yang boleh menjejaskan kesihatan awam serta aktiviti harian.
Dalam perkembangan berkaitan, jumlah tompok panas kebakaran di Indonesia dan Malaysia juga kini berada pada tahap tertinggi dalam tempoh tujuh tahun, sekali gus meningkatkan risiko jerebu teruk di rantau Asia Tenggara dalam beberapa bulan akan datang.
Menurut laporan Pusat Meteorologi Khas Asean, sebanyak 825 tompok panas dikesan pada bulan Mac di kawasan utama penanaman kelapa sawit di kedua-dua negara. Data tersebut diperoleh melalui imej satelit yang digunakan untuk mengenal pasti lokasi sebenar kebakaran.
Krisis paling teruk pernah berlaku pada 2015 apabila kebakaran berskala besar mencetuskan kecemasan jerebu serantau, mengakibatkan kerugian dianggarkan mencecah AS$16 bilion (RM64.45 bilion), selain penutupan sekolah, gangguan penerbangan dan ketegangan diplomatik.
Peramal cuaca memberi amaran keadaan cuaca kering pada 2026 boleh mencetuskan situasi serupa.
Menurut ramalan, hujan dijangka rendah pada April di kebanyakan kawasan Malaysia dan sebahagian Kalimantan, sebelum meningkat pada Mei. Namun, tempoh Jun hingga Ogos dijangka kembali kering di seluruh Asia Tenggara, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran dan jerebu berpanjangan. – AGENSI










