Pengharaman kemasukan e-waste bermula hari ini - Utusan Malaysia

Pengharaman kemasukan e-waste bermula hari ini

JABATAN Alam Sekitar (JAS) akan memperkukuh pemantauan dan pemeriksaan terhadap premis pemprosesan buangan terjadual khususnya sisa elektrik dan elektronik (e-waste) bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang alam sekitar. GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Pengimportan sisa elektronik (e-waste) ke negara ini diharamkan sepenuhnya berkuat kuasa hari ini.

Larangan itu menyaksikan negara memperketat kawalan terhadap kemasukan buangan berbahaya yang boleh mengancam alam sekitar dan kesihatan awam.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Amran Ahmad berkata,  pewartaan tersebut dibuat di bawah Jadual Pertama, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 melalui pindaan terbaharu P.U.(A) 151/2026.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katana, pengharaman itu dilaksanakan selaras dengan subseksyen 31(1) Akta Kastam 1967 (Akta 235).

“Pengimportan e-waste telah diwartakan sebagai larangan import secara mutlak dan tidak dibenarkan masuk ke negara ini dalam apa jua bentuk.

“Langkah ini diambil bagi memperketat kawalan terhadap kemasukan sisa berbahaya serta melindungi alam sekitar daripada sebarang pencemaran,” katanya dalam kenyataani hari ini.

Katanya, keputusan tersebut dibuat menerusi Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara Bilangan 2 Tahun 2026.

“Penguatkuasaan larangan ini akan dilaksanakan secara menyeluruh di semua pintu masuk negara dan JKDM tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan membawa masuk e-waste secara tidak sah.

“Tindakan tegas termasuk rampasan dan pendakwaan akan diambil terhadap pihak yang melanggar peraturan ini,” katanya.

Menurutnya, JKDM turut memperkukuh kerjasama strategik dengan pelbagai agensi bagi memastikan penguatkuasaan dilaksanakan secara berkesan.

“Kerjasama ini melibatkan Jabatan Alam Sekitar di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia.

“Ia penting bagi memastikan sebarang cubaan membawa masuk buangan terjadual, khususnya e-waste, dapat dikesan dan ditangani dengan lebih berkesan,” katanya.

Tambahnya, larangan tersebut juga selaras dengan komitmen Malaysia di bawah Konvensyen Basel.

“Malaysia tidak akan menjadi destinasi lambakan sisa elektronik dari luar dan akan terus komited memastikan alam sekitar negara kekal terpelihara,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini