ADRIANA Adnan bukan pelakon meningkat naik, bahkan sudah 10 tahun dia menapak dalam dunia hiburan tanah air.
Namun, dari sudut populariti, pelakon berusia 31 tahun ini boleh dikatakan masih belum cukup terkenal di mata masyarakat.
Bukanlah tidak pernah membawa peranan utama dalam mana-mana drama. Malah sebelum ini anak kepada pengacara dan penyampai berita RTM Zamzarina Zambri ini pernah melakonkan watak heroin menerusi drama Seribu Nina yang ditayangkan dalam platform penstriman digital, Viu.
Dan beberapa kali juga Adriana diberi kepercayaan membawa pelbagai peranan sampingan antaranya menerusi drama Suri Hati Mr. Pilot, Urusan Hati Cik Drama Queen, Lafazkan Kalimah Cintamu dan banyak lagi.
Adriana sendiri mengakui yang namanya dalam dunia lakonan belum kukuh walaupun selepas sedekad bergelar anak seni.
Namun pelakon dan pengacara cantik ini tidak pernah terkesan dengan keadaan itu. Baginya untuk dikenali dengan bakat dan kebolehan bukan satu perkara mudah.
Dan tidak sesekali dia memilih jalan pintas, kejar populariti dengan mencetuskan kontroversi atau bergelumang dengan cerita-cerita sensasi.
Selepas satu dekad, Adriana berjaya mengekalkan imej bersih tanpa secalit cerita panas. Seadanya dia bukan artis yang terdesak popular sampaikan sanggup mengorbankan nama baik demi kemasyhuran.
“Dan saya ini bukan seperti kebanyakan pelakon lain yang konsisten, yang sering muncul dalam pelbagai drama atau filem. Bahkan, saya masuk ke dalam dunia seni ini sebagai pengacara, lakonan pula bidang sampingan yang juga saya minati.
“Dalam bidang lakonan ini, selepas 10 tahun, saya sedar yang kedudukan saya masih belum kukuh. Mungkin saya belum mendapat watak yang benar-benar dapat menaikkan nama saya.
“Apa pun saya selesa dengan keadaan sekarang ini. Biarlah prosesnya perlahan asalkan sampai ke tahap yang benar-benar saya mahukan. Saya tak mahulah nama cepat naik kemudian jatuh menjunam.
“Memang saya menaruh harapan agar nama saya diperkatakan satu masa nanti. Tapi buat masa ini, biarlah saya sekadar konsisten dan sentiasa mendapat tempat dalam dunia lakonan. Itu sudah memadai buat masa sekarang. Saya percaya insha-Allah, giliran saya akan tiba satu masa nanti,” kongsinya.

Adriana dalam pada itu bersyukur kerana beberapa kali dia diberi kepercayaan melakonkan watak mencabar meskipun masih dalam proses membina nama.
“Saya akui, kebanyakan watak yang ditawarkan kepada saya adalah bersifat ringan, seperti komedi.
“Tapi saya bersyukur kerana ada beberapa penerbit dan pengarah yang nampak kemampuan saya, justeru memberikan saya watak yang mencabar.
“Antaranya watak antagonis iaitu seorang penggoda dalam drama Urusan Hati Cik Drama Queen, begitu juga dalam drama Seribu Nina dimana saya membawa lapan karakter dalam satu masa.
“Jadi, walaupun saya sering ditawarkan watak-watak ringan, adakalanya saya juga diberi kepercayaan untuk membawa watak berat,” kongsinya lagi.
Sementara itu, Adriana memaklumkan sehingga hari ini dia sentiasa berusaha meghadiri uji bakat lakonan untuk mencuba nasib.
“Lebih-lebih drama terbitan platform pentriman yang sentiasa mengadakan uji bakat. Saya tidak menunggu peluang datang bergolek, sebaliknya keluar mencari dengan menghadiri sesi uji bakat.
“Dan selepas 10 tahun, ya, saya masih berdepan penolakan. Itu sebahagian proses yang tidak dapat dielakkan. Biasalah, bukan semua watak sesuai dengan kita,” ujarnya.










