Hanya Malaysia, Thailand catat aliran masuk pelaburan asing

Hanya Malaysia, Thailand catat aliran masuk pelaburan asing minggu lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dan Thailand merupakan satu-satunya pasaran Asia yang dipantau oleh MBSB Investment Bank Bhd. yang menerima aliran masuk asing bersih minggu lalu, masing-masing mencatatkan RM587.6 juta dan AS$58.9 juta (RM237.2 juta).

Bank pelaburan dalam Laporan Aliran Dana minggu berakhir 27 Mac 2026 berkata, pasaran serantau lain mengalami penjualan bersih ekuiti.

Katanya, aktiviti penjualan bersih adalah menyeluruh sekali lagi dengan pelabur asing melanjutkan rentetan penjualan bersih selama enam minggu merentasi lapan pasaran Asia, melibatkan aliran keluar asing bersih sebanyak AS$15.68 bilion (RM63.16 bilion).

Aliran keluar diterajui oleh Korea Selatan, India, Taiwan, Indonesia, Vietnam dan Filipina.

MBSB Investment Bank berkata, pelabur asing menamatkan rentetan jualan bersih dua minggu berturut-turut di Bursa Malaysia, mencatatkan aliran masuk asing bersih sebanyak RM587.6 juta minggu lalu.

“Pelabur asing merupakan pembeli bersih pada keempat-empat hari dagangan sepanjang minggu, dengan aliran masuk terbesar dicatatkan pada hari Rabu (RM191.5 juta), diikuti oleh Jumaat (RM176.2 juta), Khamis (RM112.9 juta) dan Selasa (RM107.0 juta).

“Tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran masuk asing bersih adalah perladangan (RM385.9 juta), perkhidmatan kewangan (RM295.6 juta) dan tenaga (RM139.1 juta). 

“Sementara itu, tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran keluar asing bersih adalah teknologi (RM123.1 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM89.2 juta) dan pembinaan (RM78.5 juta),” katanya. 

Sementara itu, bank pelaburan berkata, institusi tempatan menamatkan rentetan pembelian bersih dua minggu berturut-turut, mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM582.9 juta.

“Dalam pada itu, peruncit tempatan melanjutkan rentetan jualan bersih selama dua minggu berturut-turut, mencatatkan aliran keluar bersih sederhana sebanyak RM4.7 juta.

“Purata jumlah dagangan harian (ADTV) menyaksikan penurunan menyeluruh peruncit tempatan sebanyak 0.4 peratus, manakala institusi tempatan meningkat sebanyak 1.1 peratus dan pelabur asing menyaksikan penurunan sebanyak 14.7 peratus,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×