Malaysia tak terjejas krisis tenaga global - JP Morgan

Malaysia tak terjejas krisis tenaga global – JP Morgan

PERALIHAN tenaga Malaysia tidak berisiko gagal kerana kekurangan pelaburan, tetapi kerana pelaburan berlebihan yang tidak dipacu oleh keperluan sebenar sistem.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dilihat menjadi salah satu negara di Asia yang akan bertahan daripada krisis tenaga global selain China. 

Ketua JP Morgan bagi Asia, Rajiv Batra berkata, kebanyakan ekonomi di Asia dilihat berdepan risiko tinggi sekiranya berlaku kejutan dalam sektor tenaga global.

Menurutnya, Malaysia mempunyai beberapa penampanan yang kukuh, termasuk kedudukannya sebagai pengeksport tenaga.

“Selain itu, defisit fiskal negara berada pada tahap terkawal, hasil dasar kerajaan yang berdisiplin manakala kadar inflasi juga kekal tidak terlalu tinggi.

“Keadaan ini menyediakan ruang perlindungan yang bukan sahaja menyokong pasaran ekuiti sebagai kelas aset, malah turut membantu menstabilkan nilai mata wang negara,” katanya ketika wawancara bersama CNBC baru-baru ini. 

Menurut Rajiv Batra, Malaysia mempunyai kelebihan sebagai salah satu pengeluar minyak dan gas di rantau ini. 

“Kedudukan itu membantu mengurangkan kebergantungan kepada import tenaga, sekali gus memberikan perlindungan semula jadi terhadap turun naik harga global,” katanya.

Tambahnya, ketidaktentuan geopolitik global dan peralihan kepada sumber tenaga boleh diperbaharui akan terus mempengaruhi pasaran tenaga dalam jangka panjang. 

“Secara keseluruhan, dapatan itu menunjukkan walaupun Asia merupakan antara enjin pertumbuhan ekonomi dunia, tahap ketahanan setiap negara terhadap krisis tenaga adalah berbeza. 

“Oleh itu, Malaysia dan China dilihat mempunyai kelebihan yang membolehkan mereka mengharungi cabaran tersebut dengan lebih baik berbanding negara lain di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan negara Asia merupakan pengimport bersih tenaga dan amat bergantung kepada bekalan dari luar. 

“Keadaan ini menjadikan mereka lebih terdedah kepada kenaikan harga global, sekali gus memberi tekanan kepada inflasi dan pertumbuhan ekonomi.

“Apabila kos tenaga meningkat, negara-negara ini berdepan risiko peningkatan defisit akaun semasa, kejatuhan nilai mata wang serta tekanan terhadap kos sara hidup rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×