BUKIT MERTAJAM : Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah meluluskan pembiayaan berjumlah hampir RM2 bilion yang memberi manfaat kepada seramai 88,150 usahawan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara untuk tempoh dua bulan pertama tahun ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, pembiayaan itu melibatkan penyaluran bantuan modal kerja, pembangunan aset, perluasan perniagaan dan lain-lain.
“Ini adalah antara fokus KUSKOP sekarang iaitu bagaimana kita boleh membantu sektor SME (PKS). Bukan sahaja (bantuan) dari segi kelangsungan atau survival, tetapi juga dari aspek kejayaan dan penskalaan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menghadiri program ‘Balik Rumah’ anjuran pertubuhan kebajikan, One Hope Charity and Welfare di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen; Pengerusi One Hope Charity and Welfare, Datuk Chua Sui Hau serta beberapa kenamaan lain.
Pada majlis itu, lebih 200 keluarga yang pernah menerima bantuan daripada pertubuhan kebajikan tersebut dikumpulkan bagi tujuan berkongsi perkembangan terkini mengenai kehidupan mereka selepas menerima bantuan.
Sementara itu, Steven berkata, KUSKOP kini sedang mempergiat pelaksanaan kempen ‘PowerUp10k’ dalam usaha untuk meningkatkan kapasiti serta keupayaan sehingga 10,000 buah syarikat di Malaysia.
Katanya, dengan adanya kempen seperti itu, ia bukan sahaja dapat membantu usahawan untuk mengekalkan kelangsungan perniagaan mereka, tetapi, turut membantu penskalaan operasi selain mengangkat keupayaan kumpulan tersebut agar boleh bertahan dalam mendepani cabaran yang besar.
Mengulas mengenai cabaran ekonomi termasuk kesan daripada kenaikan harga diesel ketika ini pula, Steven berkata, sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem ekonomi terbuka, Malaysia tidak terkecuali daripada menerima kesan atau tempias akibat kenaikan tersebut.
“Dalam hal ini, kerajaan mungkin terpaksa membuat satu keputusan yang agak sukar dan mungkin juga tidak popular (seperti menaikkan harga minyak) sehingga kita dikritik dan sebagainya.
“Tetapi, hasil daripada keputusan tidak popular itu juga, bekalan (minyak) kita masih lagi mencukupi sehingga ke hari ini dan yang paling penting, rakyat secara amnya juga masih dapat menikmati petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter,” ujar beliau.-UTUSAN










