PETALING JAYA: Dua sayap pemuda parti politik dari Malaysia dan Indonesia memberikan sokongan kepada usaha kepemimpinan kedua-dua buah negara untuk memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan negara ASEAN berteraskan keamanan, kestabilan dan kesejahteraan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kamil Munim dan Ketua Umum Tunas Indonesia Raya (TIDAR) Indonesia, Rahayu Saraswati menerusi kenyataan berkata, pendirian terbaharu dan pandangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto untuk memperhebatkan usaha diplomasi dan melindungi nyawa orang awam dalam konflik Asia Barat juga perlu diberikan sokongan penuh.
“Kami menekankan keperluan mendesak untuk mempertingkatkan usaha diplomasi pelbagai hala bagi meredakan ketegangan, memelihara nyawa orang awam dan menggerakkan jalan penyelesaian yang berwibawa ke arah kedamaian yang berkekalan.
“Pada masa sama, kelangsungan rantaian bekalan global dan keselamatan laluan perdagangan strategik termasuk Selat Hormuz mestilah dipelihara bagi mengelakkan gangguan lanjut terhadap pasaran tenaga dunia,” katanya.
Mereka berkata, generasi muda kedua-dua negara juga perlu bersedia memperkasakan suara mereka demi keamanan, menolak keganasan dan menjunjung undang-undang antarabangsa sebagai asas kepada sebarang penyelesaian yang adil.
“AMK dan TIDAR turut menzahirkan sokongan padu terhadap usaha Malaysia dan Indonesia memperkukuh kesepaduan ASEAN berprinsipkan keamanan dan kestabilan kolektif rakyat.
“Kedua-dua negara akan terus kekal sebagai jambatan dialog, bukannya medan perpecahan, dalam menghadapi landskap geopolitik yang semakin mencabar,” katanya. – UTUSAN









