Sampah cemar imej Kampung Angkat Madani

Sampah cemar imej Kampung Angkat Madani

KEADAAN sampah yang dibuang di laluan utama Kampung Bahagia di Teluk Intan. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Kampung Bahagia di sini menjadi lokasi pembuangan sampah haram oleh pihak luar menyebabkan timbunan sampah di laluan utama kampung tersebut.

Keadaan itu mengecewakan penduduk dan pihak berkuasa tempatan walaupun pelbagai tindakan sudah diambil namun perkara itu tetap berlaku.

Ia mencemarkan kampung tersebut yang dipilih sebagai Kampung Angkat Madani di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Zairul Akma Kasim berkata, banyak kos digunakan bagi membersihkan sampah di kampung tersebut kerana menggunakan jengkaut.

Katanya, pihaknya terpaksa membersihkan kawasan itu dua atau tiga kali dalam sehari kerana sebaik sahaja dibersihkan, pasti ada sampah yang dibuang di kawasan tersebut.

“Sehingga hari ini belum ada penyelesaian terhadap masalah ini dan kami percaya sekiranya ia tidak diatasi, lebih banyak lokasi pembuangan sampah akan wujud.

“Masalah ini semakin kritikal namun orang menuduh MPTI tidak membuat kerja, tidak turun membersihkan sampah dan mereka ambil gambar menunjukkan keadaan sampah yang banyak sedangkan kawasan ini dibersihkan setiap hari.

“Dalam sehari, MPTI membersihkan 17 lokasi sampah, itu tidak termasuk di taman-taman perumahan antaranya di sekitar Bagan Datuk, Hutan Melintang dan pekan Langkap,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Menurutnya, pelbagai jenis sampah dibuang di kampung tersebut seperti plastik makanan, botol air, lampin pakai buang, kayu, besi, kotak, perabot malah bangkai anjing dan biawak.

Katanya, perbuatan itu juga menunjukkan cara membuang sampah yang tidak betul.

“Masyarakat masih mempunyai perspektif lemah terhadap isu pembuangan sampah dan membuang sampah ke kampung orang lain.

“Baru-baru ini berlaku kemalangan di lokasi sampah di sini kerana terlalu banyak sampah. Baru sahaja dibersihkan, tidak lama sampah akan banyak semula. Sampah yang banyak mengganggu lalu lintas sehingga menyebabkan berlaku kemalangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×