Herry guna video 'bedah' kesilapan Aaron-Wooi Yik

Herry guna video ‘bedah’ kesilapan Aaron-Wooi Yik

Aaron Chia-Soh Wooi Yik
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi menggunakan pendekatan analisis video sebagai senjata utama bagi memastikan gandingan utama negara tidak mengulangi kesilapan menjelang Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 di Ningbo, China pada 7 hingga 12 April ini.

Strategi itu dilihat sebagai kunci penting buat pasangan No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam usaha mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu di venue sama.

Menurut Herry, pendekatan pembelajaran visual menerusi rakaman video memberi impak lebih mendalam berbanding sekadar arahan lisan dalam memperbetulkan kelemahan pemain.

“Biasanya saya selalu sebelum kejohanan, kita ada lihat evaluasi menerusi rakaman video. Jadi Aaron-Wooi Yik, terutamanya saat set ketiga yang mana mereka akan buat kesilapan. Kita ulang dan lihat kesilapannya.

“Kalau kita bercakap kepada pemain, telinga mereka dengar sahaja tetapi kalau lihat video, telinga dan mata juga akan melihat jadi akan lebih mudah.

“Itu yang saya lakukan supaya dia ulang tayang di dalam fikiran mereka dan mampu diperbaiki,” kata Herry selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, semalam.

Justeru, sesi ulang tayang video itu bukan sahaja bertujuan mengenal pasti kesalahan teknikal, malah membentuk ketenangan mental pemain dalam situasi genting.

Dalam masa sama, Herry mengingatkan anak buahnya supaya tidak terlalu memikirkan laluan ke final, sebaliknya memberi fokus penuh dari pusingan pertama yang menanti cabaran pasangan Taiwan.

“Jangan pandang terlalu jauh hingga ke final, sebaliknya setiap pusingan perlu diharungi dengan penuh fokus dan konsentrasi secara berperingkat kerana setiap lawan bukan mudah,” katanya.

Aaron-Wooi Yik dijadual membuka kempen menentang gandingan Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi-Lin, dengan Korea, China dan Indonesia dijangka menjadi pencabar utama dalam perebutan gelaran.

Untuk rekod, edisi tahun lalu menyaksikan beregu No.2 dunia itu meraih gelaran Asia buat kali pertama selepas menewaskan pasangan China, Chen Bo Yang-Liu Yi pada perlawanan akhir di Ningbo. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×