VALENCIA: Ketua jurulatih Sweden, Graham Potter menghamburkan pujian kepada Viktor Gyokeres apabila menjadi watak utama pasukan selepas menjaringkan hatrik ketika menewaskan Ukraine 3-1 dalam aksi kelayakan play-off Piala Dunia, semalam.
Kemenangan itu membolehkan Sweden bertemu Poland di Stockholm, Selasa ini yang sebelum itu menewaskan Albania 2-1 bagi merebut tempat ke pusingan akhir Piala Dunia pada Jun ini.
“Ia satu langkah besar ke hadapan untuk pasukan. Kami berjuang bersama dan Gyokeres menunjukkan prestasi luar biasa,” kata Potter.
Itu merupakan kemenangan pertama Sweden dalam kempen kelayakan yang sebelum ini dilihat hambar namun cukup untuk membawa mereka hampir ke penampilan kedua Piala Dunia dalam tempoh 20 tahun.
Sweden hanya mengutip dua mata daripada enam perlawanan dalam kumpulan kelayakan yang turut melibatkan Switzerland, Kosovo dan Slovenia tetapi diberi satu lagi peluang hasil prestasi mereka dalam Liga Negara-Negara.
Sementara itu, jurulatih Ukraine, Serhiy Rebrov terpaksa akur dengan kekalahan tersebut sekali gus meranapkan impian mereka untuk beraksi di pusingan akhir Piala Dunia sejak 2006.
“Saya percaya kepada pasukan saya sepanjang perlawanan. Kami telah melakukan yang terbaik dan mempunyai peluang untuk menjaringkan gol tetapi gol awal mereka memberi kesan kepada kami, sama seperti pada separuh masa kedua.
“Kami menamatkan perlawanan dengan baik tetapi itu tidak mencukupi. Gyokeres menjadi penentu malam ini. Dia menunjukkan kualitinya dan membuktikan dia salah seorang penyerang terbaik di Eropah,” katanya. – AFP/UTUSAN










