SEREMBAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan merekodkan sebanyak 205 kes kebakaran terbuka bermula 1 Mac sehingga semalam.
Pengarah JBPM Negeri Sembilan, Nor Arifin Kamari berkata, ia menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 159.5 peratus berbanding tempoh sama bagi tahun lalu.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut kebakaran melibatkan kawasan belukar dan lalang mencatatkan angka tertinggi iaitu 186 kes dengan peningkatan mendadak sebanyak 313.3 peratus.
“Selain itu, kebakaran dikawasan kebun atau ladang merekodkan satu kes, manakala kebakaran hutan tiga kes direkodkan.
“Bagi kebakaran melibatkan sampah pula, sebanyak 15 kes direkodkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nor Arifin berkata, keadaan cuaca panas ekstrem dan tiupan angin kencang dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menyumbang kepada kejadian tersebut, ia sekali gus membolehkan api merebak dengan cepat secara tidak terkawal.
“Selain faktor cuaca, peningkatan aktiviti manusia sempena musim perayaan seperti aktiviti pembakaran sampah, percikan api daripada penggunaan mercun serta pembuangan puntung rokok yang masih menyala turut menyumbang kepada risiko kebakaran,” katanya.
Beliau berkata, Pusat Gerakan Operasi Negeri bersama semua Balai Bomba dan Penyelamat di negeri ini menerima jumlah panggilan kecemasan yang tinggi setiap hari berhubung kes berkenaan.
“Pihak kami secara purata menerima sekurang-kurangnya 20 panggilan sehari berhubung kes kebakaran terbuka.
“Selain itu, antara kawasan yang menjadi tumpuan ketika ini ialah di sekitar daerah Seremban, Telok Kemang, Port Dickson dan daerah Tampin,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang awam agar sentiasa berwaspada dan bertanggungjawab dalam setiap tindakan bagi mengelakkan berlakunya kebakaran terbuka.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ( JBPM) Negeri Sembilan memaklumkan, kebakaran tanah gambut seluas 2 hektar berhampiran Jalan Pantai di sini berjaya dipadam sepenuhnya pagi ini selepas operasi pemadaman berterusan selama tiga hari sejak kelmarin.
“Seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Telok Kemang dengan bantuan BBP Rantau terlibat dalam operasi tersebut selain menggunakan satu unit jentera bomba (FRT) dan satu unit jentera ringan (LFRT),” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN










