TEL AVIV: Ekonomi Israel mengalami kerugian 177 bilion shekel (RM224 bilion) sepanjang dua tahun konflik di Gaza, menurut laporan yang dipetik Bloomberg.
Data yang diterbitkan dalam laporan tahunan 2025 oleh Bank of Israel menunjukkan jumlah itu bersamaan 8.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunannya, antara 2023 hingga 2025.
Kerugian tersebut sebahagian besarnya dikaitkan dengan perang di Gaza, yang turut merangkumi kos serangan Israel di Lubnan.
Laporan itu tidak mengambil kira kesan ekonomi daripada konflik berterusan yang melibatkan Iran, yang kini memasuki minggu keempat, dengan Israel melancarkan serangan udara dan berdepan serangan balas.
Awal bulan ini, Kabinet Israel meluluskan bajet negara 2026 yang disemak semula, dengan tambahan AS$13 bilion (RM51 bilion) bagi membiayai usaha perangnya.
Laporan itu juga menyatakan perubahan dalam corak perdagangan, dengan eksport ke lapan negara Kesatuan Eropah (EU) yang dianggap lebih kritikal terhadap Israel menurun sebanyak AS$1 bilion (RM3.9 bilion) pada 2024 dan AS$1.5 bilion (RM5.9 bilion) pada 2025. Namun, perdagangan dengan beberapa negara lain meningkat.
“Corak ini mungkin menunjukkan bahawa pendirian politik mempengaruhi jumlah eksport ke negara-negara tersebut,” menurut laporan bank itu.
Laporan itu turut menambah bahawa konflik selama 12 hari dengan Iran pada Jun tahun lalu sahaja telah mengurangkan hasil ekonomi Israel sebanyak 0.3 peratus daripada KDNK.
Israel melancarkan perang ke atas Gaza pada Oktober 2023, yang mengorbankan lebih 72,000 penduduk Palestin, mencederakan sekitar 172,000 yang lain dan memusnahkan kira-kira 90 peratus infrastruktur awam.
Walaupun gencatan senjata dicapai tahun lalu, tentera Israel dilaporkan membunuh ratusan penduduk Palestin di Gaza sejak itu. – AGENSI










