TORUN, Poland: Raja lompat bergalah Sweden, Armand Duplantis kembali ke lokasi rekod dunia pertamanya di Torun, Poland, untuk memenangi gelaran keempat dunia dalam gaya dominan, semalam.
Duplantis yang mencipta rekod dunia pertamanya dengan catatan 6.17 meter (m) di bandar Poland itu pada 2020, melakukan enam lompatan dan berjaya melepasi palang setiap kali dengan catatan terbaik 6.25m.
Dalam satu persembahan bertaraf tinggi yang memukau, pencabarnya hanya mampu menyaksikan dari jauh apabila Emmanouil Karalis dari Greece meraih perak pada ketinggian 6.05m dan Kurtis Marschall dari Australia gangsa pada catatan 6.00m.
“Melompat terlebih dahulu dalam giliran dan melihat Manolo (Karalis) beraksi dengan baik menjadikannya sukar tetapi juga menyeronokkan dan mencabar.
“Arena di Torun mempunyai tempat istimewa di hati saya. Di sinilah hidup saya berubah apabila saya mencipta rekod dunia pertama. Seronok dapat kembali dan bertanding di hadapan penyokong di sini,” kata Duplantis.
Dalam situasi yang jarang berlaku, memandangkan dia biasanya hanya memulakan lompatan selepas atlet lain mencuba ketinggian lebih rendah, Duplantis membuka saingan dengan mudah melepasi 5.50m.
Karalis tidak mencuba ketinggian itu tetapi berjaya pada percubaan pertama di 5.70m, dan kedua-duanya melepasi 5.85m, namun Duplantis memilih untuk tidak mencuba 5.95m, yang berjaya dilepasi Karalis tanpa masalah.
Palang kemudian dinaikkan ke 6.00m, dengan Duplantis berjaya pada percubaan pertama manakala Karalis gagal dalam cubaan awalnya.
Marschall kemudian melepasi ketinggian yang suatu ketika dahulu dianggap mustahil itu, diikuti oleh atlet Greece tersebut pada percubaan kedua, ketika lapan daripada 12 peserta sudah tersingkir.
Atlet Norway, Sondre Guttormsen, mengambil risiko dengan tidak mencuba 6.00m dan palang dinaikkan ke 6.05m.
Karalis berjaya, namun ketinggian itu terlalu tinggi buat Guttormsen dan Marschall, yang akhirnya meraih gangsa. – AFP/UTUSAN







