'Sampai sekarang tiada siapa tahu dalang kes pemain warisan'

‘Sampai sekarang tiada siapa tahu dalang kes pemain warisan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Cina Malaysia, Datuk Jeffrey Low menggesa pihak berkuasa mengenal pasti individu dan pihak bertanggungjawab dalam kes pemalsuan sijil kelahiran membabitkan tujuh pemain yang pernah dikaitkan sebagai ‘pemain warisan’ negara.

Menurut beliau, kontroversi berkenaan bukan sekadar isu dalaman bola sepak, sebaliknya melibatkan perkara serius yang boleh menjejaskan reputasi serta integriti negara di pentas antarabangsa.

Jeffrey menegaskan, kes tersebut perlu disiasat secara menyeluruh kerana pemalsuan dokumen rasmi, khususnya sijil kelahiran, merupakan satu jenayah yang tidak boleh dipandang ringan.

“Sampai sekarang, tiada siapa tahu siapa sebenarnya yang melakukan pemalsuan sijil kelahiran untuk tujuh pemain ini. Sampai hari ini tidak boleh dikesan.

“Saya tidak pasti, mungkin Konfederasi Bola Sepak Asia sudah mengesan sesuatu tetapi mereka perlu mencari pihak yang melakukan perkara ini.

“Ini adalah satu isu yang serius dan kita tidak boleh katakan ini perkara yang kecil kerana sudah membabitkan isu antarabangsa. Negara yang terbabit boleh mengambil tindakan kerana pihak itu memalsukan dokumen kelahiran rakyat mereka.

“Jadi ini adalah satu jenayah yang sangat serius. Jadi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa dan AFC perlu mencari pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Terdahulu, panel Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) memutuskan bahawa kesalahan memalsukan dokumen kelayakan memang berlaku dan hukuman penggantungan selama 12 bulan daripada sebarang perlawanan dianggap wajar terhadap pemain yang terlibat.

Tujuh pemain yang dikaitkan dalam kes berkenaan ialah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Menurut CAS, hukuman tersebut dianggap setimpal memandangkan penglibatan mereka yang didapati bersubahat dalam kes penipuan dokumen berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×