RM4.6b subsidi diesel untuk Sabah, Sarawak tahun ini

RM4.6b subsidi diesel untuk Sabah, Sarawak tahun ini

ANWAR Ibrahim melakukan gimik perasmian bagi Majlis Perasmian Hari PenggunaKebangsaan (HPK) 2026 di Kota Kinabalu, Sabah hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan dijangka akan menanggung subsidi diesel sehingga RM4.6 bilion bagi negeri Sabah dan Sarawak pada tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia susulan lonjakan harga minyak dunia akibat ketidaktentuan geopolitik khususnya konflik yang melanda Asia Barat ketika ini.

Katanya, jumlah terbabit meningkat berbanding sekitar RM2 bilion yang ditanggung bagi subsidi diesel di dua negeri terbabit pada tahun lepas.

Menurutnya, subsidi tersebut perlu ditanggung kerajaan bagi memastikan rakyat Sabah dan Sarawak tidak terbeban dengan kenaikan harga bahan api kesan kenaikan harga minyak dunia, buat masa ini.

“Jumlah subsidi diesel untuk Sabah dan Sarawak pada tahun lalu adalah sebanyak RM2 bilion, namun setakat ini kerajaan Persekutuan dijangka menanggung sekitar RM4.6 bilion pada tahun ini.

“Subsidi ini bukan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), bukan projek pembangunan sekolah, tetapi ini bagi memastikan rakyat Sabah dan Sarawak tidak terbeban dengan kenaikan harga bahan api,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2026 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali dan Timbalannya, Datuk Dr. Fuziah Salleh.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan juga memutuskan untuk mengekalkan harga runcit diesel di Sabah dan Sarawak pada kadar RM2.15 seliter.

Katanya, harga runcit diesel itu dikekalkan walaupun kos sebenar harga bahan api itu telah meningkat sekitar RM4.30 seliter.

“Saya sebut ini kerana kita harus tahu, bukan saya mengeluh tapi ini tanggungjawab kita meringankan nasib rakyat,” katanya.

Katanya lagi, langkah mengekalkan harga tersebut bagi tujuan mengelakkan peningkatan kos pengangkutan yang boleh memberi kesan kepada harga barangan keperluan rakyat di Sabah dan Sarawak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×