PETALING JAYA: Polis giat mengesan dua suspek lelaki bersenjatakan parang yang menyamun penyelia FamilyMart, Desa Setapak, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berkaitan kes itu pada hari sama oleh seorang mangsa pada pukul 4.43 pagi.
Menurutnya, mangsa berbangsa Melayu berumur 24 tahun itu merupakan penyelia premis FamilyMart berkenaan.
“Kira-kira pukul 1.59 pagi, mangsa telah didatangi dua lelaki memakai ‘face mask’ berwarna hitam, bertopi keledar dan bersenjatakan parang lalu meminta mangsa untuk segera menyerahkan wang berjumlah RM 2,467.50.
“Mangsa yang berasa takut terus menyerahkan wang seperti yang diminta dan suspek turut mengambil telefon bimbit milik mangsa, jenama Iphone 15 dan jenis Redmi 15 milik seorang lagi pekerja ketika kejadian.
“Jumlah keseluruhan kerugian yang dialami dianggarkan sebanyak RM 6,067.50,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohammad Lazim, kedua-dua suspek bertindak melarikan diri selepas kejadian dengan menaiki dua buah motosikal.
Katanya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
“Pihak polis sedang giat mengesan suspek yang terlibat dalam kes ini,” katanya. – UTUSAN










