Struktur kuasa baharu Iran dan geopolitik Asia Barat - Utusan Malaysia

Struktur kuasa baharu Iran dan geopolitik Asia Barat

Menyedari kegagalan taktik pembunuhan kepimpinan dan kempen udara untuk menumbangkan Tehran dari dalam, perisikan Israel dikesan cuba menyusup melalui proksi militan Kurdish di utara Iran. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perang berskala penuh yang dilancarkan oleh pakatan Amerika Syarikat-Zionis ke atas Republik Islam Iran kini bukan sahaja menggegarkan kestabilan geoekonomi global, khasnya laluan tenaga di Selat Hormuz, tetapi juga telah membuka kotak Pandora terhadap nasib masa depan Palestin.

Secara strategiknya, Tehran merupakan benteng terakhir dan proksi induk yang menaungi struktur persenjataan ‘Paksi Penentangan’ (Axis of Resistance). Hal ini merangkumi keupayaan tempur Hamas dan Palestinian Islamic Jihad (PIJ) di Gaza, Hizbollah di Lubnan, Ansarallah (Houthi) di Yaman, serta Angkatan Mobilisasi Rakyat (Hashd al-Shaabi) di Iraq.

Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), proksi yang bertanggungjawab merekayasa keupayaan asimetri angkatan anti-Zionis di Asia Barat, kini menjadi sasaran utama doktrin pemenggalan kepimpinan (decapitation strike) Washington dan Tel Aviv sejak penghujung Februari lalu.

Daripada segi geopolitik, Republik Islam Iran sejak Revolusi 1979 telah memacu strategi serampang dua mata yang merangkumi pengukuhan domestik dan unjuran kuasa serantau demi matlamat utama pembebasan Masjid Al-Aqsa.

Keupayaan pencegahan (deterrence) Iran pada hari ini bersandarkan kepada triad peluru berpandu, dron, dan peperangan proksi. Tehran memegang inventori peluru berpandu balistik, krus, dan hipersonik terbesar di Asia Barat, membariskan aset canggih seperti siri hipersonik Fattah-1 dan Fattah-2, serta balistik jarak sederhana seperti Sejjil, Emad, Ghadr, Shahab-3, Khorramshahr-4 (Kheibar), dan Zolfaghar.

Kekuatan ini digandakan lagi dengan doktrin swarm drone yang dipacu oleh siri UAV seperti Shahed-136, Shahed-131, dan model altitud tinggi terkini, Mohajer-10.
Di sebalik persenjataan ini, infrastruktur ketenteraan berkembar Iran disokong oleh IRGC yang menaungi ratusan pakar dan saintis nuklear serta menguasai rantaian bekalan Kompleks Perindustrian Hemat (SHIG).

Oleh itu, tidak hairanlah apabila agensi perisikan Zionis dan Barat sering mendedahkan jejak teknologi proksi Iran seperti fius mortar AZ111-A2 dan bahan letupan M112 dalam siri operasi persenjataan Hamas, termasuklah semasa insiden 7 Oktober 2023.

Strategi yang pada mulanya digerakkan melalui rantaian proksi ini kemudiannya berevolusi kepada konfrontasi secara terus menerusi siri operasi timbal balas yang berlanjutan. Peralihan fasa ini bermula dengan Operasi True Promise 1 pada April 2024 sebagai tindak balas langsung Tehran susulan pengeboman konsulat Iran di Damsyik.

Ketegangan ini memuncak dengan Operasi True Promise 2 pada Oktober 2024 yang menyaksikan pelancaran ratusan peluru berpandu balistik selepas pembunuhan pemimpin biro politik Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran, dan Setiausaha Agung Hizbollah, Hassan Nasrallah di Beirut.

Dinamik konflik ini terus membarah menjelang 2025 melalui Operasi True Promise 3, iaitu gelombang serangan strategik balasan selepas kempen udara Zionis-Amerika menerusi Operasi Midnight Hammer yang berani menyasarkan fasiliti nuklear bawah tanah Iran di Fordow, Natanz, dan Esfahan.

Di sebalik siri konfrontasi terbuka ini, sokongan logistik dan kewangan Iran kepada paksi penentang terus mengalir tanpa henti di mana data Jabatan Negara Amerika Syarikat sebelum ini pernah mendedahkan suntikan dana sekitar USD 100 juta setahun kepada Hamas.

Kegagalan Operasi Epic Fury untuk melumpuhkan secara total rantaian kesinambungan kerajaan Iran adalah jelas. Kekosongan kuasa tertinggi yang pada awalnya diuruskan secara kolektif oleh Presiden Masoud Pezeshkian, tokoh ulama berpengaruh Ayatollah Alireza Arafi, serta penasihat keselamatan Ali Larijani secara pantas telah diisi secara rasmi. Majlis Pakar telah bersidang dan memuktamadkan pelantikan Mojtaba Khamenei sebagai Pemimpin Agung Iran yang baharu.

Penabalan anak kepada Allahyarham Ayatollah Ali Khamenei ini bukan sahaja mematikan spekulasi krisis pewarisan kepimpinan yang diharap-harapkan oleh proksi Barat, malah mengukuhkan lagi keutuhan institusi Velayat-e Faqih ke atas hierarki pentadbiran teokrasi negara tersebut.

Menyedari kegagalan taktik pembunuhan kepimpinan dan kempen udara untuk menumbangkan Tehran dari dalam, perisikan Israel dikesan beralih arah dengan cuba menyusup melalui proksi militan Kurdish di utara Iran dengan matlamat untuk mencetuskan pemberontakan yang memecah belahkan tumpuan pertahanan Republik Islam tersebut.

Kesimpulannya, ilusi Barat bahawa serangan pembunuhan kepimpinan semata-mata mampu meruntuhkan hierarki teokrasi Iran terbukti tersasar sama sekali.

Kestabilan dan kelangsungan Republik Islam Iran dalam mendepani badai perseteruan ini bukan sekadar isu survival sebuah negara bangsa, tetapi merupakan kompas mutlak yang bakal menentukan paksi perjuangan pembebasan Palestin dan struktur kekuasaan baharu di Asia Barat kelak.

Dr. Abdul Muein Abadi ialah Pensyarah Pengajian Pertahanan Universiti Kebangsaan Malaysia-Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (UKM-MPAT).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×