Pelancongan negara perlu fokus pasaran serantau Asia

Pelancongan negara perlu fokus pasaran serantau Asia

MOHD. KHALID HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia perlu memberi keutamaan kepada pasaran serantau dan Asia sebagai pendekatan menangani impak industri pelancongan global yang tidak menentu susulan perang di Asia Barat.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Mata), Datuk Seri Dr. Mohd. Khalid Harun berkata, ini berikutan pasaran Asia dilihat lebih stabil berbanding pasaran lain ekoran akses perjalanan lebih dekat.

“Ketegangan di Asia Barat dijangka menyumbang peningkatan harga minyak dunia dan kos bahan api penerbangan, selain berisiko mencetuskan gangguan pada laluan udara antarabangsa.

“Secara tidak langsung ia akan mempengaruhi dan me­rencatkan keputusan pelancong antarabangsa untuk melakukan perjalanan jarak jauh. Malaysia pada ketika ini perlu ada strategi pelancongan lebih realistik dan berdaya tahan bagi mendepani cabaran global.

“Kita perlu memberi ke­uta­maan kepada pasaran serantau dan Asia yang dilihat lebih stabil dan mempunyai akses perjalanan yang lebih dekat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Semalam akhbar ini melaporkan industri pelancongan negara dijangka menyusut sekitar lima hingga 10 peratus ekoran konflik peperangan Iran yang menyebabkan beberapa negara mengehadkan penggunaan ruang udara dan menjejaskan pergerakan pengunjung.

Semalam juga, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya dilaporkan merancang memberi tumpuan kepada pasaran Eropah, Asia dan Asia Tenggara sebagai langkah strategik baharu bagi mendepani cabaran susulan krisis di Asia Barat.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata alternatif itu antara usaha memastikan kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 tidak terjejas dan mencapai sasaran.

Mohd. Khalid berkata, kepelbagaian pasaran amat penting bagi memastikan momentum pertumbuhan industri pelancongan negara terus kukuh dan tidak terjejas terutamanya ketika penganjuran TMM 2026.

“Malaysia perlu bijak memanfaatkan reputasi sedia ada sebagai sebuah destinasi percutian aman, selamat dan mesra pelancong.

“Ini kelebihan kita untuk menarik lebih ramai pelancong antarabangsa yang kini giat mencari destinasi alternatif le­bih selamat untuk bercuti di tengah-tengah suasana geopolitik dunia tidak menentu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×