ALOR SETAR: Semua pihak digesa menghentikan budaya politik melabel lawan sebagai ‘syaitan’ kerana pendekatan tersebut berpotensi memecah-belahkan masyarakat.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang melabel usaha dialog politik melalui gagasan Rumah Bangsa sebagai ‘tipu daya syaitan’ keterlaluan dan tidak mencerminkan kematangan dalam berpolitik.
Menurutnya, dalam tradisi Islam, perbezaan pandangan sepatutnya diraikan melalui hujah ilmu dan kebijaksanaan, bukannya dengan bahasa menghina atau melabel pihak lain dengan istilah yang boleh mencetuskan perpecahan.
“Ulama silam berhujah dengan ilmu dan hikmah. Mereka tidak menggunakan retorik yang boleh memecah-belahkan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahfuz turut menyifatkan cubaan mengaitkan kerjasama politik dengan DAP sebagai pengkhianatan terhadap Islam adalah tidak wajar memandangkan sejarah politik negara sendiri menunjukkan kerjasama antara parti-parti berbeza pernah berlaku sebelum ini.
Katanya, Pas sendiri pernah bekerjasama dengan DAP dalam pakatan politik selama beberapa tahun dan ketika itu tidak timbul tuduhan sedemikian.
Dalam masa sama, beliau menzahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan menggunakan ayat al-Quran di luar konteks untuk menyerang lawan politik.
Jelasnya, ayat-ayat yang berkaitan dengan peperangan dan permusuhan tidak seharusnya disalah tafsir atau digunakan untuk menuduh pihak lain dalam kerangka perbezaan politik demokrasi.
“Malaysia memerlukan kematangan politik dan perpaduan nasional. Negara juga sedang berdepan cabaran ekonomi global, ketidaktentuan geopolitik serta tekanan kos sara hidup yang menuntut semua pihak mencari titik persamaan demi kestabilan negara,” katanya.
Tambah beliau, gagasan Rumah Bangsa merupakan usaha untuk mengurangkan perbalahan politik dan membina ruang dialog antara pihak yang berbeza pandangan.
“Rumah Bangsa ialah rumah yang cuba dibina semula supaya rakyat tidak terus hidup dalam pergaduhan politik. Walaupun mungkin belum sempurna, ia merupakan usaha untuk menyatukan rakyat,” katanya.
Menurut Mahfuz, politik yang menunggang sentimen agama untuk menyerang lawan tidak akan membantu menyelesaikan masalah sebenar rakyat.
Beliau turut menegaskan bahawa Islam merupakan agama yang membawa rahmat serta kebijaksanaan dan tidak sepatutnya dijadikan alat untuk menuduh atau menghukum pihak lain semata-mata kerana perbezaan pandangan politik.
“Apabila hujah politik semakin lemah, label agama sering dijadikan senjata. Namun rakyat Malaysia semakin matang dan mampu membezakan antara perjuangan agama yang tulen dengan propaganda politik yang berselindung di sebalik agama,” katanya. – UTUSAN










