UMNO Sabah sedia terima semula ahli dipecat, digantung - Jafry

UMNO Sabah sedia terima semula ahli dipecat, digantung – Jafry

JAFRY Ariffin ketika ditemui pemberita pada Majlis Iftar Ramadan Badan Perhubungan UMNO Sabah di Bangunan UMNO Sabah - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: UMNO Sabah bersedia menerima semula kemasukan ahli termasuk Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang pernah dipecat, digantung keahlian atau meninggalkan parti itu sebelum ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata pihaknya senada dengan keputusan kepimpinan tertinggi parti yang sebelum ini bersetuju membuka ruang kepada bekas ahli untuk kembali menyertai parti.

Menurutnya langkah itu selaras dengan inisiatif “Rumah Bangsa” yang diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lepas bagi menggalakkan penyatuan semula ahli parti.

“UMNO Sabah bersetuju dengan inisiatif ‘Rumah Bangsa’ untuk membuka pintu kembali kepada ahlinya sama ada yang digantung ataupun meninggalkan parti.

“Secara jujurnya kami di UMNO Sabah memang terbuka, cuma perlu ada permohonan dan rasanya kita tidak ada masalah untuk menerima mereka semula.

“Apa yang penting mereka yang berhasrat untuk kembali perlu menyokong UMNO dan juga Barisan Nasional,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar Ramadan Badan Perhubungan UMNO Sabah di Bangunan UMNO Sabah, di sini, hari ini.

Jafry berkata mana-mana bekas ahli yang ingin kembali menyertai parti perlu mengemukakan permohonan terlebih dahulu sebelum ia diproses mengikut prosedur ditetapkan.

“Perkara ini tidak akan menjadi realiti kalau hanya satu pihak yang bertindak. Perlu ada permohonan daripada ahli yang digantung atau meninggalkan parti bagi menyatakan hasrat mereka untuk kembali.

“Kita mempunyai jawatankuasa yang ditubuhkan untuk menentukan kemasukan semula ahli yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan keputusan akan dibuat oleh jawatankuasa itu,” katanya.

Mengenai sama ada inisiatif berkenaan merupakan strategi bagi mengekalkan kerusi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU), akan datang katanya, langkah berkenaan hanya bertujuan membuka ruang kepada bekas ahli yang ingin kembali menyertai parti.

Minggu lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan mengumumkan parti itu membuka pintu seluas-luasnya kepada bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian untuk kembali menyertai parti tanpa syarat.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya dan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy sebelum ini digantung keahlian daripada parti berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×