Pembinaan haram perlu dilayan ikut undang-undang

Pembinaan haram perlu dilayan ikut undang-undang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“PEMILIK tidak diwajibkan untuk pergi ke mahkamah bagi mendapatkan perintah pemilikan.

“Dia berhak, jika dia mahu, untuk mengambil remedi itu sendiri. Dia boleh masuk sendiri dan mengusir mereka tanpa bantuan mahkamah. Dia malah boleh menggunakan kekerasan selagi kekerasan itu tidak melebihi apa yang munasabah diperlukan.

“Dia tidak akan bertanggungjawab sama ada secara jenayah atau sivil.

“Walau bagaimanapun, perkara ini tidak digalakkan kerana gangguan yang mungkin berlaku tetapi dari segi undang-undang ia tidak boleh dipersoalkan.” – Penghakiman Raja Azlan Shah dalam kes Sidek Muhamad & 461 Ors lwn. Kerajaan Negeri Perak & Ors [1982] 1 MLJ 313

Penghakiman dalam kes Sidek Muhammad yang diputuskan di Mahkamah Persekutuan pada 1 Februari 1982 merupakan autoriti tertinggi berkenaan dengan hak pemilik tanah dalam mengendalikan pencerobohan yang berlaku di atas tanah milikannya.

Autoriti kes ini bertepatan dengan nas undang-undang di bawah Kanun Tanah Negara yang memberikan perlindungan penuh kepada pemilik berdaftar mana-mana hartanah di dalam negara.

Undang-undang yang ada jelas menyatakan mana-mana orang tidak boleh sewenang-wenangnya menceroboh dan membina struktur bangunan di atas tanah orang lain atau tanah kerajaan.

Walaupun kes Sidek ini berkenaan dengan isu setinggan, namun prinsipnya juga haruslah terpakai kepada rumah anutan haram yang dibina di atas tanah yang bukan milik atau kepunyaan mereka.

Tahun lalu saya pernah mengulas isu rumah anutan haram serta peranan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam menangani isu ini berdasarkan kerangka perundangan semasa.

Isu ini tidak mudah untuk diselesaikan memandangkan masyarakat kita sering hidup dalam sindrom penafian untuk mengakui isu sebenar. Walhal pemasalahan ini bukanlah isu agama yang perlu dianggap sensitif atau taboo. Sebaliknya, persoalan kedaulatan undang-undang dan keadilan sosial yang perlu ditangani secara tegas dan jujur.

Sekiranya pemimpin masyarakat malu atau takut untuk mengakui isu ini, pada asasnya hanyalah satu isu pencerobohan tanah, maka ia akan dilihat sebagai isu sensitif yang berpaut kepada sentimen perkauman dan keagamaan.

Pelbagai siri bantahan terhadap rumah anutan haram tidak menunjukkan pertelingkahan antara Muslim dan bukan Muslim. Ia adalah isu antara masyarakat sivil melawan penceroboh tanah. Sekiranya ia dilihat secara objektif, isu rumah anutan haram ini sebenarnya tidaklah sukar untuk ditangani.

Ini kerana, di dalam sebuah negara yang berasaskan sistem perundangan, setiap inci tanah tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang jelas.

Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tanah Negara, Akta Perancangan Bandar dan Desa serta peraturan yang dikeluarkan PBT menetapkan dengan nyata sebarang pembangunan memerlukan kelulusan sah. Oleh itu, pembinaan apa-apa struktur tanpa kebenaran, walaupun telah lama wujud tetap merupakan satu pelanggaran undang-undang.

Antara pembelaan yang menyatakan struktur binaan ini wujud dari zaman dahulu sebelum pemilik tanah bertukar dan sebagainya. Tetapi hakikat ini tidak boleh mengubah fakta perundangan bahawa hak yang tidak boleh disangkal adalah dipegang dan dimiliki oleh pemilik tanah.

Sistem Torrens yang diguna pakai dalam sistem perundangan tanah menjadi asas kepada sistem pendaftaran dan pemilikan tanah. Oleh yang demikian hujahan struktur bangunan tersebut telah lama wujud dan sebagainya bukanlah alasan yang mempunyai kedudukan perundangan.

Prinsip ini bukanlah sesuatu yang baharu atau sengaja diada-adakan di Malaysia. Prinsip berkenaan dengan rumah anutan haram ini juga pernah diulas di India dalam kes yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Madras apabila mahkamah memutuskan isu perundangan dalam petisyen oleh seorang individu bernama N. Kumar.

Pempetisyen kes itu mendakwa dirinya sebagai pengurus pemegang amanah Kuil Raajakaliamman dan menyatakan kuil tersebut dilindungi Akta Tempat-Tempat Sembahan India kerana merupakan kuil lama.

Namun mahkamah menolak petisyen tersebut dan menyatakan kuil berkenaan tidak dilindungi kerana dibina di atas tanah milik kerajaan. Oleh yang demikian, mana-mana perundangan tidak sama sekali boleh membenarkan pembinaan struktur atas tanah milik kerajaan atau orang lain.

Mana-mana pembinaan tanpa kebenaran perlu dilayan sebagai pelanggaran kepada undang-undang.

Undang-undang tidak boleh dilihat dikuatkuasakan secara terpilih atau mengikut tekanan emosi dan sentimen. Jika pelanggaran dibenarkan hanya kerana melibatkan struktur tertentu dengan dakwaan telah lama wujud, maka mesej yang dihantar kepada masyarakat jelas yang undang-undang boleh dirunding atau diketepikan mengikut sentimen.

Keadaan ini bahaya dalam jangka panjang kerana melemahkan keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan, menjejaskan perancangan bandar dan membuka ruang kepada lebih banyak pencerobohan tanah awam. Oleh itu, tindakan tegas bukanlah kezaliman, sebaliknya usaha memulihkan keadilan dan ketertiban.

 

SELESAIKAN DENGAN ADIL

Tuntasnya isu rumah anutan haram di Malaysia tidak boleh dilihat secara sempit atau emosional. Ia adalah isu undang-undang, tadbir urus dan keadilan.

Keberanian kerajaan untuk menyelesaikannya secara tegas berdasarkan lunas undang-undang wajar dilihat sebagai usaha memperkukuh kedaulatan undang-undang dan memastikan kepentingan awam dilindungi.

Sebuah negara yang maju bukanlah negara yang mengelak daripada membuat keputusan sukar tetapi negara yang berani bertindak berdasarkan prinsip, keadilan dan peraturan yang sama untuk semua.

Dalam konteks ini, ketegasan yang adil bukan ancaman kepada keharmonian, sebaliknya asas kepada kestabilan dan kepercayaan rakyat terhadap sistem pemerintahan.-UTUSAN

PENULIS merupakan pengamal undang-undang dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×