PETALING JAYA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengarahkan penutupan sementara sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Hospital Seberang Jaya susulan kematian bayi empat bulan bulan, Hayl Haarith Mohd. Syafaeez di bawah jagaan premis berkenaan, Ahad lalu.
JKM memaklumkan, perintah penutupan sementara dikeluarkan terhadap Taska Pintar Hospital Seberang Jaya di bawah Perenggan 16(1)(a) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308) yang berkuat kuasa serta-merta.
“Sejurus laporan kejadian diterima, Pegawai Kebajikan Masyarakat telah turun ke premis taska untuk menjalankan siasatan awal di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 melibatkan aspek perlindungan dan kebajikan kanak-kanak.
“Siasatan turut melibatkan pemeriksaan pematuhan premis tersebut di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 serta peraturan pengoperasian berkaitan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut JKM, bayi berkenaan dilaporkan telah ditempatkan di taska tersebut kira-kira sebulan sebelum kejadian selepas ibunya mula bertugas di hospital berkenaan.
Dalam pada itu, JKM turut memaklumkan pihaknya akan memberikan bantuan sokongan psikososial awal kepada ibu mangsa dan ahli keluarga terlibat.
“Kes sedang disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JKM akan memberi kerjasama penuh dalam membantu siasatan yang dijalankan.
“Kerajaan menegaskan setiap taska yang berdaftar di bawah Akta 308 hendaklah mematuhi semua peraturan yang ditetapkan termasuk melibatkan kelayakan pengasuh serta prosedur keselamatan kanak-kanak.
“Sekiranya dibuktikan berlaku pelanggaran undang-undang atau syarat pendaftaran, tindakan tegas termasuk penggantungan operasi atau pembatalan pendaftaran taska akan diambil,” katanya. – UTUSAN








