Saya tidak akan berhenti bersuara – Cikgu Chandra

Saya tidak akan berhenti bersuara – Cikgu Chandra

S. CHANDRASEGARAN bersama kenderaan yang terbakar di kediamannya di Puchong.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aktivis S. Chandrasegaran atau lebih dikenali sebagai Cikgu Chandra tidak akan berhenti bersuara berhubung isu rumah ibadah haram walaupun berdepan insiden serangan dan ugutan yang berlaku baru-baru ini.

Chandra berkata, kejadian tersebut tidak melemahkan semangatnya malah menguatkan lagi tekad untuk terus memperjuangkan isu-isu membabitkan pencerobohan tanah dan gangsterism yang memberi kesan kepada masyarakat.

Menurutnya, dia kini berada dalam keadaan baik dan mendapat sokongan kuat daripada keluarga dan orang ramai.

“Ramai pihak memberikan sokongan kepada saya. Ada juga pihak media yang menghubungi dan bertanya sama ada saya akan berhenti selepas insiden ini.

“Jawapan saya jelas, tidak. Insiden ini sebaliknya menaikkan lagi semangat saya untuk terus bersuara mengenai isu-isu seperti kuil haram dan kegiatan gangsterisme,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 petang kelmarin, sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang disyaki menyerang rumah aktivis itu di Taman Kinrara, Puchong.

Suspek yang memakai topeng hitam memecahkan cermin belakang kereta Perodua Viva milik Cikgu Chandra serta merosakkan jeriji besi di hadapan rumah.

Dalam kejadian berasingan, sekumpulan individu dipercayai datang ke rumahnya pada jam 3.20 pagi sebelum mencampakkan objek dipercayai bom petrol.

Dalam pada itu, Chandra berkata, isu pencerobohan tanah yang melibatkan pembinaan rumah ibadat secara haram serta kegiatan gangsterisme semakin membimbangkan dan memerlukan tindakan serius daripada pihak berkuasa.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang memberikan sokongan kewangan dan moral selepas insiden serangan dan ugutan yang menimpanya baru-baru ini. 

Jelasnya, bantuan kewangan yang diterima akan digunakan untuk membaik pulih rumah dan kenderaan yang rosak akibat insiden tersebut.

“Tidak boleh hanya bergantung kepada wang kerana banyak lagi perkara penting memerlukan perbelanjaan. 

“Kepada rakyat Malaysia yang menyokong perjuangan saya, sokongan moral serta tindakan tegas daripada pihak penguat kuasa, Kementerian Dalam Negeri dan Perdana Menteri Malaysia amat saya perlukan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×