GEORGE TOWN: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah bernilai kira-kira RM1.6 juta susulan penahanan dua lelaki dan seorang wanita tempatan dalam beberapa serbuan di sekitar daerah Timur Laut dan Seberang Perai Utara, kelmarin.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, kesemua suspek berusia antara 22 hingga 28 tahun, ditahan dalam operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah Timur Laut bermula kira-kira pukul 12 tengah hari sehingga 2 pagi semalam.
Menurutnya, dalam serbuan pertama di kawasan parkir kenderaan di daerah Timur Laut, polis menahan seorang lelaki tempatan dan merampas 120 paket plastik disyaki serbuk MDMA anggaran berat 3.02 kilogram (kg) yang ditemukan dalam sebuah kenderaan.
“Susulan itu, polis menjalankan serbuan kedua di kawasan parkir sama dan menahan seorang lelaki serta seorang wanita tempatan. Pemeriksaan terhadap sebuah motosikal membawa kepada penemuan 119 paket plastik disyaki serbuk MDMA seberat 2.21 kg,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, serbuan ketiga di sebuah kediaman di Seberang Perai Utara (SPU) yang membawa kepada rampasan 252 paket plastik disyaki serbuk MDMA seberat 5.2 kg, 18 paket plastik disyaki ketamin seberat 515 gram serta tujuh keratan aluminium foil mengandungi pil Erimin 5 seberat 19 gram.
Azizee berkata, siasatan awal mendapati kegiatan penyimpanan dan pengedaran dadah oleh kumpulan ‘runner’ itu aktif sejak Disember tahun lalu, dengan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh kira-kira 30,000 penagih atau bagi 30,000 kali penggunaan.
“Ujian saringan air kencing mendapati, dua daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan ketamin. Bagaimanapun, semakan lanjut mendapati, kesemua tangkapan tidak mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah atau dadah,” katanya.
Beliau berkata, polis turut mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita pelbagai aset termasuk tiga buah kereta iaitu Honda Civic, Perodua Myvi dan Toyota Vios selain wang tunai dan barangan kemas keseluruhannya bernilai RM224,544.
Katanya, semua suspek direman selama tujuh hingga 16 Mac ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN










