SEREMBAN: Polis Negeri Sembilan berjaya menyekat bekalan dadah jenis syabu kepada lebih 30,000 penagih dengan tertangkapnya dua lelaki dalam satu operasi di Rembau pada 12 Februari lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, dadah itu disorok dalam 30 bungkusan teh cina dan diletakkan dalam bonet sebuah kereta jenis Perodua Bezza.
Beliau berkata, dua lelaki berusia lingkungan 30-an ditahan dalam operasi oleh pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau dan unit peronda Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman.
“Operasi bersepadu itu dilaksanakan susulan maklumat risikan berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang didalangi rakyat tempatan.
“Pasukan operasi telah menahan kereta itu di tepi jalan di Kilometer 236.9 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan kira-kira pukul 3 petang,” katanya pada sidang akhbar di IPK Negeri Sembilan di sini hari ini.
Jelasnya, pemeriksaan yang dilakukan pada kenderaan itu menemukan dadah tersebut dalam dua buah guni di bahagian bonet kereta tersebut.
Tambahnya, anggaran berat syabu itu yang sedia digunakan adalah 30,601 gram dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1.56 juta.
“Kuantiti ini dipercayai mampu menampung bekalan untuk kira-kira 30,000 penagih dan memberi kesan kepada masyarakat jika berjaya dipasarkan,” ujarnya.
Alzafny memberitahu, kedua-dua suspek yang bekerja masing-masing sebagai mekanik dan nelayan itu mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan memiliki barang curi dan telah direman sejak 13 Februari lalu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kegiatan pengedaran dadah itu aktif sejak tahun lalu dan menyasarkan pasaran di negeri-negeri selatan tanah air.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan. – UTUSAN










